Polis Langkawi Rampas Lebih 4kg Heroin Di Bukit Malut


LANGKAWI – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Langkawi dilaporkan telah mencatatkan rampasan terbesar heroin tahun ini yang dianggarkan seberat 4.066 kilogram, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Dr Che Ghazali Che Awang hari ini berkata dadah itu ditemukan dalam sembilan paket plastik yang disembunyikan di dalam bonet kereta milik seorang lelaki berumur 26 tahun yang diberkas sebelum itu kerana disyaki mengedar dadah.

Memetik laporan Bernama, beliau memberitahu bahawa lelaki berkenaan merupakan antara empat suspek berumur antara 26 dan 35 tahun yang ditahan dalam serbuan di sebuah rumah kediaman di Kampung Sungai Batu, Bukit Malut di sini pada 2.00 pagi ini.

“Hasil pemeriksaan di rumah itu, polis menemukan 24 paket plastik mengandungi dadah disyaki syabu seberat 97.5 gram, 10 paket lagi mengandungi dadah disyaki heroin seberat 37 gram dan 170 biji pil disyaki Erimin 5 (pil khayal),” katanya dalam sidang media di sini.

Suspek utama kes itu dikatakan kemudiannya telah membawa pasukan polis ke sebuah kereta yang diparkirnya di sebuah rumah di Kampung Kuala Teriang di sini, di mana dadah jenis heroin dalam jumlah yang lebih besar itu disembunyikannya.

Che Ghazali berkata, polis turut merampas wang tunai RM7,500 berkemungkinan adalah hasil jualan dadah selain mendapati keempat-empat suspek positif dadah dalam ujian saringan awal yang dibuat

Difahamkan bahawa kesemua suspek kini direman sehingga 24 Jun ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, 1952, manakala rampasan wang tunai dibuat di bawah Seksyen 4, Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta), 1988.

Beliau berkata peningkatan pemantauan kegiatan mengedar dan menyalahgunakan heroin di Langkawi sudahpun bermula selepas statistik terbaharu Polis Kontinjen Kedah mendapati jumlah kes melibatkan dadah jenis itu di pulau ini adalah yang tertinggi di seluruh negeri.

“Gerakan Jihad Perangi Dadah yang dimulakan sejak dua tahun lepas berjaya mengurangkan kegiatan dadah jenis methamphetamine dan sebagainya kini akan ditumpukan untuk memerangi penyalahgunaan heroin,” katanya. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com