Polis Kedah Rampas 2.77 Kg Syabu Dan Heroin, Tahan Pasangan Kekasih


ALOR SETAR - Polis Kedah menahan sepasang kekasih berumur 22 dan 28 tahun serta merampas 2.77 kilogram dadah jenis heroin dan syabu di sebuah rumah di Taman Kantan di sini, awal pagi Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Supt Helmi Aris berkata, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah melakukan serbuan di rumah itu pada kira-kira 12.15 pagi berdasarkan maklumat awam berhubung aktiviti pengedaran dadah di kawasan tersebut.

"Hasil serbuan itu menemui seorang lelaki dan wanita di dalam rumah tersebut...hasil pemeriksaan di dalam rumah itu, polis menemukan dua beg disorok di atas siling rumah mengandungi 15 peket plastik disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat kasar 1.22 kilogram dan lapan peket plastik disyaki dadah syabu anggaran berat 1.55 kilogram," katanya dalam kenyataan di sini, kelmarin.

Beliau berkata turut dirampas wang tunai RM900, sebuah kereta dan seutas rantai emas manakala dadah itu dianggarkan bernilai RM135,000.

"Polis percaya dadah ini untuk diedarkan di sekitar Alor Setar dan kawasan berdekatan," katanya.

Helmi berkata suspek lelaki berusia 28 tahun itu mempunyai tujuh rekod jenayah berkaitan dadah, manakala pasangannya yang berusia 22 tahun mempunyai satu rekod jenayah juga berkaitan dadah.

Kedua-dua suspek yang tidak bekerja direman lima hari bermula hari ini untuk siasatan, katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - BERNAMA



No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com