Perjuangan UMNO Martabatkan Umat Islam Disukai PAS - Najib


JITRA -  Prinsip dan perjuangan UMNO ke arah kepentingan memartabatkan umat dan agama Islam selama ini menyebabkan PAS 'suka' terhadap parti itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Presiden UMNO, berkata ini kerana PAS yang 'dibuli' oleh DAP dalam pakatan pembangkang sebelum ini, melihat dasar UMNO dari aspek kebajikan dan pentadbiran yang banyak menguntungkan umat Islam.

"Macam mana pun kita ada berbeza pendapat, kerajaan pimpinan UMNO ada prinsip perjuangan dan dia (PAS) nampak perjuangan kita ke arah kepentingan memartabatkan umat Islam.

"PAS sudah serik dengan DAP...bila PAS bersama DAP dia kena buli, sampai PAS pun angkat tangan dan lari tengah malam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Rakyat peringkat Kedah dan Majlis Pelancaran Lampu Jalan Kampung Fasa 8 (LJK8) peringkat kebangsaan di Masjid Pering di sini, hari ini.

Turut hadir, isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharum, Menteri Pelajaran Datuk Seri Mahdzir Khalid serta pemimpin UMNO bahagian dan ketua jabatan.

Najib turut menyelar pakatan pembangkang yang dilihat tidak mempunyai kata sepakat dalam membuat sebarang keputusan sehinggakan siapa bakal menjadi Perdana Menteri sekiranya pakatan itu menang pun tidak diketahui setakat hari ini.

"Ada orang itu, hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Kalau ikut sistem kita, parti mana menang paling banyak kerusi, dia tubuh kerajaan. Kalau parti kita ada satu kerusi saja macam mana nak jadi Perdana Menteri?" katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, sekiranya ekonomi bertambah baik, kerajaan mampu agihkan kepada penduduk termasuk mereka yang tinggal di luar bandar.

Ini termasuk pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia  (BR1M) di mana lebih RM500 juta diagihkan kepada 600,000 penduduk di Kedah pada tahun ini, kata Najib.

"Ini tugas kita sebagai kerajaan yang bertanggungjawab apatah lagi ketika kita mensyukuri dengan nikmat keamanan negara hingga dapat melaksanakan ibadah dengan selesa dan tanpa batas, " katanya lagi.

Menurut beliau, nikmat Ramadan hanya akan dapat dirasai jika terdapat nikmat keamanan, jaminan keselamatan hasil daripada sebuah kerajaan yang sentiasa menjaga keperluan dan urusan hidup rakyatnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com