Peniaga Di Ipoh Jamin Bekalan Ayam, Daging Mencukupi Menjelang Syawal


IPOH - Peniaga barangan basah di Pasar Besar Ipoh dan Pasar Ayam Amanjaya di sini, memberi jaminan bekalan ayam serta daging mencukupi menjelang Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Peniaga ayam, Mohd Jamil Mat Jamlus, 46, berkata setiap kali menjelang musim perayaan dia boleh menjual lebih 300 ekor ayam sehari berbanding hari biasa sekitar 120 ekor.

"Boleh dikatakan peningkatan lebih daripada sekali ganda kalau tiba musim perayaan dan adakalanya bertambah disebabkan permintaan bukan tertumpu kepada orang Melayu sahaja.

"Bagaimanapun, kita akan pastikan bekalan ayam ini mencukupi kerana permintaannya boleh dikatakan setiap tahun meningkat," katanya kepada Bernama semasa tinjauan hari ini.

Mohd Jamil berkata setakat ini dia mendapat bekalan ayam dari Manjoi, Menglembu dan beberapa tempat di sekitar Ipoh.

Mengulas mengenai harga ayam di kedainya, Mohd Jamil berkata ia dijual pada harga RM7.50 sekilogram dan memberi jaminan ia tidak akan dinaikkan dalam masa terdekat memandangkan bekalan tertakluk di bawah harga kawalan.

"Kerajaan tetapkan harga dalam lingkungan RM7 hingga RM7.50 sekilogram, jadi kita sebagai peniaga tak boleh naikkan sewenang-wenangnya walaupun sedikit terbeban daripada sudut kos pengangkutan," katanya.

Sementara itu, peniaga daging, Kamaridi Amaran, 65, tidak menolak kemungkinan harga daging lembu dan kerbau akan naik sedikit daripada RM32 sekilogram sekarang kepada RM35 sekilogram.

"Kami terpaksa naikkan sedikit harga kerana harga jualan yang diperoleh daripada pemborong atau peraih juga meningkat terutama menjelang hari raya," katanya.

Kamaridi berkata alasan diberikan pemborong dan peraih untuk menaikkan harga jualan adalah disebabkan kesukaran untuk mendapatkan bekalan selain melibatkan kos pengangkutan yang tinggi.

Sementara itu, seorang pembeli Mohd Yusran Zulkifli, 34, berkata rata-rata barangan basah yang dijual di Pasar Besar Ipoh masih terkawal meskipun ada di antaranya telah meningkat.

Katanya peningkatan paling ketara dilihat pada harga daging kambing iaitu mencecah RM29 sekilogram berbanding hari biasa sekitar RM23 sekilogram.

"Memang terasa jugalah sebab saya memang selalu beli daging kambing untuk keperluan di rumah namun tak sangka harga boleh mencecah sebegitu," katanya.

Seorang lagi pengguna, Noor Zuraidi Zainan Noor, 47, berkata pihak berwajib terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan perlu lebih kerap membuat pemantauan agar peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga.

"Kita tak mahu keadaan itu berlaku dan saya harap pihak berwajib melakukan tindakan yang sewajarnya bagi mengelak pengguna terbeban," katanya. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com