Penggunaan Dron Dilarang Di Lokasi Acara Sukan SEA Di Langkawi

 Related image

LANGKAWI - Sebarang penggunaan dron oleh penonton di lokasi acara perahu layar Sukan SEA ke-29 tidak dibenarkan sepanjang berlangsungnya acara itu di sini, kata Ketua Polis Negeri Kedah, Datuk Asri Yusoff.

Katanya, kawalan pergerakan bot dan kapal di sekitar perairan pulau ini juga akan diperketatkan lagi selain pelaksanaan beberapa langkah lain bagi menghadapi sebarang ancaman keselamatan semasa temasya sukan itu.

"Pengoperasian dron memang sudah menjadi dasar tak boleh terbang sebarangan. Dron yang diterbangkan dekat sini sudah tentu kita tak akan benarkan. Kita akan bersedia dan bertindak," katanya selepas meninjau perjalanan latihan amali Ex-Rimau di sini semalam.

Menurutnya, latihan amali yang melibatkan 282 pegawai dan anggota daripada pelbagai pergerakan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu adalah satu daripada lima siri latihan persediaan keselamatan sempena Sukan SEA 2017 yang akan berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos ini.

"Kami sedia maklum ancaman yang berkaitan dengan Daesh yang kita tengok di beberapa buah negara sekeliling kita sudah ada. Jadi kita perlu benar-benar bersedia untuk menghadapi ancaman ini," katanya. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com