Pekerja Rapid Penang Maut, Dilanggar Pemandu Mabuk


NIBONG TEBAL - Seorang pekerja Rapid Penang maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta dipandu lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafee Abdul Samad berkata mangsa Azmi Mohamad Jamhari, 42, yang bekerja di Rapid Penang Nibong Tebal maut di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira pukul 6.05 pagi.

"Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila kereta jenis Honda City dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun dari arah Jawi menghala Permatang Keling telah hilang kawalan sebelum terbabas setelah melepasi titi jambatan Sungai Kerian.

"Kereta yang dipandu lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol itu telah masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar penunggang motosikal tersebut sehingga menyebabkan mangsa tercampak ke kawasan belukar kiri jalan," katanya di sini semalam.

Katanya mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Mayatnya dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat.

Shafee berkata pemandu kereta itu mengalami kecederaan ringan iaitu luka di tangan serta kaki dan ujian air kencing juga mendapati dia positif dadah.

Katanya polis turut mengambil sampel darah pemandu kereta yang bekerja sebagai jurujual itu untuk dianalisis.

"Polis menahan pemandu kereta itu untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai atau saksi yang melihat kemalangan itu agar tampil di mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com