PAN Puji Anwar Tolak Jadi Perdana Menteri


PETALING JAYA - Parti Amanah Negara (PAN) memuji langkah Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menawarkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Umum ke-14, menunjukkan tekad Ketua Umum PKR menghapuskan gangguan dalam usaha menewaskan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden PAN,  Salahuddin Ayub berkata langkah itu keputusan yang bijak kerana pakatan pembangkang perlu bergerak ke depan dan bukannya dibelenggu isu siapa calon Perdana Menteri sekiranya mereka memenangi pilihan raya yang dijangka diadakan pertengahan tahun depan.

Beliau berkata Anwar tahu apa yang terbaik untuk PH dalam apa jua keadaan, termasuk senario PPBM mahu memimpin pakatan itu.

“Beliau merungkai masalah itu untuk kami, agar PH boleh maju ke depan dan melupakan siapa yang akan menjadi perdana menteri,” kata Salahuddin kepada FMT.

Beliau berkata sekarang masanya parti komponen PH menunjukkan kekuatan perpaduan mereka dan meyakinkan rakyat akan kerjasama dan kemampuan pakatan itu.

Sementara itu, Salahuddin juga bersetuju dengan Anwar yang khuatir dengan usul PPBM.
Beliau berkata sekarang masanya perbezaan dalam pakatan diketepikan demi rakyat.

“Kita perlu ketepikan perbezaan kita dan maju ke depan. Orang ramai mahu tahu apa yang boleh kita tawarkan untuk selesaikan masalah mereka,” katanya.

Anwar dalam kenyataan semalam berkata PPBM mengusulkan struktur Pakatan Harapan dirombak dengan pimpinan mereka diletakkan di jawatan pengerusi dan presiden pakatan.

Beliau khuatir rombakan itu akan merombak kerangka pakatan menjadikannya mirip BN.

“Maka kesediaan semua pihak dalam Pakatan Harapan untuk meneliti semula dan meminda cadangan tersebut dengan mengekalkan muafakat asal Pakatan Harapan adalah dialukan,” katanya.

PPBM menyertai PH pada 20 Mac lepas. Anggota asal pakatan itu iaitu PKR, DAP dan PAN  menyokong Anwar dilantik perdana menteri jika pakatan mengambil alih kerajaan.

Malay Mail Online pada 9 Jun lalu melaporkan PPBM mengusulkan pemimpin mereka Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik pengerusi dan presiden pakatan. Mereka memegang jawatan itu dalam PPBM.

Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir kemudian mengesahkan partinya mempunyai cadangan alternatif untuk barisan kepimpinan pakatan tetapi enggan mendedahkan butiran.

Usul itu selepas kongres PKR 21 Mei lepas yang menyaksikan perwakilan membawa plakad “Anwar PM ke-7”. Antara yang mengangkat plakad itu ialah  Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAN, Mohamad Sabu.

Bagaimanapun, Dr Mahathir dan Muhyiddin tidak berbuat demikian.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun sejak Februari 2015 selepas disabitkan kesalahan liwat.

Sumber : FMT

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com