Operasi Cari Enam Anak Kapal Yang Tenggelam Di Tanjung Pengelih Diteruskan


JOHOR BAHRU - Operasi mencari dan menyelamat enam kru kapal tangki yang meletup dan dipercayai tenggelam di Tanjung Pengelih, Pengerang, dekat sini, semalam, diteruskan hari ini dengan kekuatan pasukan penyelamat seramai 60 anggota.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata operasi yang bermula 8 pagi tadi melibatkan anggota dan pegawai daripada agensi mereka, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Laut.

Operasi itu juga mendapat bantuan tambahan keanggotaan daripada Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selain tambahan aset TLDM iaitu kapal KD Handalan.

"Keluasan kawasan pencarian lebih kurang 40 batu nautika persegi merangkumi perairan Tanjung Stapa hingga perairan Teluk Ramunia," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Selain itu katanya, usaha mengawal tumpahan minyak yang dipercayai berasal daripada kapal tangki itu turut diteruskan.

"Sehingga kini, kerja-kerja mengawal tumpahan minyak masih dijalankan oleh Jabatan Laut. Mereka telah menyembur bahan kimia bagi tujuan mengawal tompokan minyak itu daripada merebak ke tempat lain," kata Sanifah.

Dalam kejadian dua hari lepas, enam anak kapal warga Indonesia dilaporkan hilang apabila kapal tangki mereka meletup dan dipercayai tenggelam di kedudukan 4.6 batu nautika barat daya Tanjung Pengelih. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com