Nora Danish Dilayan Bak Permaisuri


BIARLAH walau ramai yang mengutuk dan mengkritik Nora Danish kerana selalu sangat tayang keintimannya dengan suami, Nedim Nazri, yang penting sejak berkahwin pelakon ini dilihat semakin bahagia melayari bahtera rumahtangganya.

Tidak pernah peduli dengan kata-kata orang terutama golongan pembenci dirinya, Nora bahkan mengaku merasa bertuah kerana dikurniakan seorang suami seperti Nedim yang bertangungjawab dan pandai melayan isteri di rumah.

Masih terasa seperti pasangan sedang bercinta, kata Nora, dia menghargai setiap apa yang dilakukan Nedim terhadap diri dan keluarga dan berkongsi mengenai hal itu, Nora juga tidak menolak bahawa Nedim cukup pandai menambat hatinya menerusi masakan dari air tangan sendiri.

“Memasak adalah minatnya sejak dari dulu lagi dan kebetulan masakan yang memang sedap. Bukanlah nak memuji suami sendiri, tetapi tanyalah pada semua yang pernah merasai air tangannya, semua mesti cakap perkara yang serupa.

“Semua ahli keluarganya pandai memasak termasuklah dia. Bayangkan, betapa sedapnya masakan Nedim, sehinggakan kami semua terasa lain kalau makan di luar sebab adakala masakan di luar tak sama macam yang dia masak.

“Anak-anak pun lebih suka Nedim yang masak, sampai merayu Nedim masak sekurang-kurangnya sekali sehari,” katanya.

Kongsi pelakon ini lagi, dia juga adakala tidak mahu menyusahkan Nedim untuk turun ke dapur sentiasa kerana bimbang suaminya itu kepenatan lantaran terlalu rajin memasak di dapur.

“Sebenarnya, sebelum berkahwin pun, memang dia suka memasak. Dia akan masak untuk kawan-kawan, anak-anak sebab suka tengok orang makan. Kebetulan lepas kahwin ni, dapur rumah juga lebih selesa maka dia jadi bersemangat untuk memasak.

“Nak dilarang selalu, itu memang minat dia dan kalau nak tahu, berat badan saya pun dah naik sedikit ni gara-gara masakan dia, jangan-jangan ada orang ingat saya dah berbadan dua pula.

“Bab itu, belum lagi tahu! Kami masih lagi mencuba,”katanya.

Ditanya sama ada dia merasa tercabar apabila melihat suaminya itu lebih handal berada di dapur berbanding dirinya, kata Nora, tidak pernah terlintas di fikiran untuk merasa tercabar kerana sedar dirinya tidak punya banyak kepakaran memasak berbanding Nedim.

Lebih gemar mengemas rumah atau melakukan hal lain, Nora menganggap ia adalah antara terapi bagi dirinya dan begitu juga Nedim apabila memasak.

“Kiranya kami ini macam pasangan yang saling melengkapi, tak begitu?”katanya berseloroh.

Menyukai masakan daging bakar dan masakan kampung seperti Ayam Masak Lemak hasil air tangan Nedim, Nora juga mengaku ramai di kalangan penggemar hidangan makanan di kafe XoXo miliknya juga suka dengan masakan Nedim.

“Di kafe saya di Bangi, Selangor misalnya, ramai yang suka air tangan Nedim. Jangan tak tahu, dia pun ada peminatnya sendiri di sana ya, kalau ternampak dia ada, mesti mereka minta Nedim yang masak.

“Pernah sekali tu, sampai melecet kakinya berada di dapur, dek kerana rajin sangat memasak di kafe,”katanya.

Dalam pada itu, Nora juga sudah sedia maklum sifat Nedim dan tahu bahawa suaminya itu tidak akan berkata ya kepada mana-mana tawaran andainya ada yang mahu Nedim terlibat berlakon sama dengannya.

Pernah menerima tawaran daripada program Romantika untuk saluran Astro, ia bagaimanapun telah ditolak dengan baik kerana Nedim tidak begitu selesa berada di depan kamera.

“Dia lebih suka untuk buat programnya sendiri. Bukan apa, kalau buat untuk orang, Nedim bimbang tak boleh berikan komitmen seperti yang pihak itu mahukan.

“Tak apalah,kami pun ada juga perancangan untuk buat program sendiri, masih dalam perbincangan dan ia mungkin lebih kepada program pelancongan sambil memasak, tengoklah macam mana nanti,”katanya.

Sumber : Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com