Nenek Dera Kanak-Kanak Mengaku Tidak Bersalah


PETALING JAYA - Seorang wanita warga emas yang tular di laman sosial sedang mendera dengan menampar dan memukul bertubi-tubi seorang kanak-kanak perempuan menggunakan sebatang rotan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Bagaimanapun, V. Tanawali, 62, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menjaga mangsa telah melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dengan memukulnya menggunakan rotan pada bahagian muka, badan, kedua-dua kaki dan tangan.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah beralamat No 44, Taman Puchong Perdana, Jalan Mawar, di sini pada 11 pagi, September 2016.

Tertuduh yang kelihatan tenang didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya V. V. Suloshani tidak menawarkan sebarang jaminan atas faktor keseriusan jenayah yang dilakukan tertuduh.

Namun, peguam bela Datuk Suraj Singh yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan terhadap anak guamnya atas alasan dia merupakan warga emas dan tiada risiko untuk melarikan diri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Sumber: Kosmo

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com