Najib Lancar Projek Lampu Jalan Kampung RM6.1 Juta Terangi 15 Parlimen Kedah


JITRA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam melancarkan projek Lampu Jalan Kampung Fasa 8 (LJK) peringkat kebangsaan, menjadikan RM250 juta telah dibelanjakan bagi penyediaan lampu jalan di luar bandar sejak 2003.

Peruntukan itu membolehkan 422,000 unit lampu jalan kampung dipasang di seluruh negara termasuk 122,133 unit di bawah LJK yang melibatkan kos RM100 juta.

Bagi di negeri Kedah sahaja, sebanyak RM6.1 juta diperuntukkan untuk memasang 8,093 unit lampu jalan kampung di 15 kawasan Parlimen  termasuk 96 kampung di Parlimen Jerlun.

Perdana Menteri melancarkan projek lampu jalan itu sebelum majlis berbuka puasa bersama penduduk di Masjid Kampung Pering dekat Kodiang di sini. 

LJK merupakan salah satu projek di bawah Program Bekalan Elektrik Luar Bandar yang dilaksanakan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sejak 2003 dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai agensi pelaksana projek berkenaan.

Daripada keseluruhan 122,133 unit lampu jalan kampung itu, 6,333 unit adalah lampu jenis Light emittin Diode (LED) sementara 115,800 unit adalah jenis High Pressure Sodium Vapor (HPSV).

Sebelum ini Perdana Menteri melancarkan projek yang sama di Pahang, Perak dan Negeri Sembilan.

Pada majlis itu Najib turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 1,225 penduduk setempat dan berbuka puasa serta menunaikan solat Maghrib di masjid itu.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharum, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd serta Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Abdul Rahman.- Kedahnews.com








No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com