Naib Pengerusi DAP Nafi Sokong Pembentukan Bandar Kristian

ALOR SETAR - Naib Pengerusi DAP, Senator Dr Ariffin Omar menyangkal dakwaan pihak tertentu yang mendakwa dirinya seolah-olah menyokong usaha pembentukan sebuah "bandar Kristian" di Pulau Pinang.

Tegas Dr Ariffin, cadangan menubuhkan bandar Kristian itu adalah tidak masuk akal sama sekali dan tidak mungkin dapat direalisasikan di negara ini.

"Cadangan itu tidak masuk akal dan tidak boleh menjadi kenyataan.

"Saya pun tak sokong jika ada usaha ke arah itu," tegas beliau dalam satu kenyataan yang dipetik dari Sinar Harian.

Jelas beliau, mana-mana pihak yang mahu membentuk bandar Kristian perlu mengubah Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu kerana Pulau Pinang merupakan salah sebuah negeri di dalam negara ini.

Malah jelas Dr Ariffin lagi, kenyataan beliau sebelum ini lebih menjurus kepada sindiran kepada cadangan itu yang pada pandangannya adalah suatu yang amat mustahil untuk dilaksanakan.

"Mereka kata saya setuju untuk wujudkan bandar Kristian. Sebenarnya ia sindiran kepada  individu yang tidak cukup intelektual.

"Apa yang beliau maksudkan bandar Kristian? Jika ada pihak mahu ubah status Pulau Pinang kepada bandar Kristian, perlu ubah Perlembagaan negara kerana Pulau Pinang sebahagian daripada Malaysia," katanya lagi.

Ariffin sebelum ini teruk dikecam kerana didakwa menyokong usaha itu termasuk berpandangan bahawa tiada apa perlu dirisaukan jika Pulau Pinang menjadi bandar Kristian, dalam perbahasan di Dewan Negara pada 21 April lalu.

Menurut hansard, Dr. Ariffin mencelah Ibrahim yang memetik buku mendakwa ‘komplot yang telah wujud, kalangan orang Kristian di negeri ini, untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri Kristian’.

Kemudian, Dr Ariffin dipetik sebagai berkata,  "Apa salahnya kalau Penang hendak dijadikan Christian city, kena ubah perlembagaan Pulau Pinang. Kalau tidak ubah, macam mana hendak jadi Christian state?". - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com