MARAWI – Tentera Filipina terus melakukan serangan bom terhadap kawasan persembunyian kumpulan militan Maute setelah hampir tiga minggu serangan dilancarkan di bandar ini.
Tiga buah pesawat pengebom OV-10 hari ini bergilir-gilir menggugurkan bom di kawasan yang dipercayai masih dikuasai oleh kumpulan tersebut.
Pada masa yang sama, Naib Gabenor Wilayah itu, Mamintal Adiong Jr. merayu agar anggota kumpulan militan itu supaya menghentikan perjuangan yang sia-sia.
“Hentikan perjuangan yang sia-sia, ini kerana kita semua adalah Islam,’’ katanya semasa memberi ucapan sempena hari kebangsaan Filipina hari ini.
Hampir kesemua 200,000 penduduk di bandar ini meninggalkan kediaman masing-masing namun difahamkan masih terdapat seramai 500 sehingga 1,000 lagi orang awam yang terperangkap atau dijadikan tebusan.
Sehingga kelmarin, lebih 100 orang terbunuh dalam pertempuran itu dengan 58 anggota keselamatan manakala 20 orang awam terbunuh.
Kelmarin, Presiden Rodrigo Duterte memberitahu bahawa beliau tidak menyangka pertempuran di Marawi akan menjadi serius seperti sekarang dan mendakwa pemimpin kumpulan Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi sendiri yang mengarahkan aktiviti keganasan di negara ini.
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Luar, Allan Peter Cayetano berkata, kumpulan militan tersebut merancang untuk menawan sekurang-kurangnya dua atau tiga buah bandar di Mindanao.
Rancangan mereka bagaimanapun gagal kerana pasukan tentera Filipina terlebih dahulu melancarkan serbuan ke Marawi dalam usaha memberkas pemimpin kumpulan militan Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon yang juga digelar ‘Raja’ Daesh di Asia Tenggara.
“Kami mahu mengadakan penyelarasan yang terbaik dengan Indonesia dan Malaysia agar mereka tidak menderita di tangan kumpulan militan ini.
“Namun Presiden (Duterte) tahu ekoran kejayaan sekutu pengganas di Syria dan Iraq maka mereka mula mencari tapak dengan menyasarkan Indonesia, Malaysia dan Filipina,’’ katanya.
Dalam pada itu Manila menegaskan Amerika Syarikat (AS) hanya memberikan bantuan teknikal dan bukannya mengerahkan tenteranya ke Filipina bagi menghapuskan kumpulan militan Maute.
Seorang pegawai tentera AS yang enggan dikenali berkata, sokongan itu termasuklah pemantauan dan sasaran udara, risikan elektronik, latihan dan bantuan komunikasi.
Kelmarin, pesawat pemantau P-3 Orian AS dilihat terbang di ruang udara bandar Marawi. – Reuters
No comments: