Meninggal Dunia Dalam Sujud Ketika Solat Tarawih


JAKARTA – Mungkin inilah dinamakan pengakhiran yang baik. Satu rakaman video kini tular menerusi media sosial memaparkan seorang jemaah meninggal dalam keadaan sedang bersujud.

Laman berita Merdeka.com melaporkan, lelaki tempatan tersebut sedang menunaikan solat terawih secara berjemaah pada malam Selasa lalu di Masjid Al Ittihad, Tebet, Jakarta Selatan, semasa peristiwa itu berlaku.

Menerusi rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan, lelaki itu yang memakai baju berwarna biru langsung tidak bangun daripada kedudukan sujud sehingga para jemaah yang lain selesai menunaikan solat.

Sesudah selesai solat, jemaah lain yang prihatin, segera mendekati lelaki itu dan cuba mengejutkannya. Kejadian itu yang dirakam CCTV masjid dan dimuat naik oleh pengguna media sosial bernama ‘bellianti’ ke laman YouTube.


Beliau kemudian turut memuat naik catatan ringkas yang berbunyi: “Subhanallah, jemaah ini meninggal dunia ketika sujud akhir solat tarawih di Masjid Al Ittihad Tebet Mas Indah, pada 13 Jun 2017 lalu.

“Menurut khabar, jemaah ini sebenarnya akan berangkat esok pagi Rabu menunaikan umrah. Mudah-mudahan amal ibadah Allahyarham diterima oleh Allah SWT dan meninggal dalam keadaan Husnul Khotimah, Amin.”

Pihak masjid melalui satu kenyataan mengesahkan bahawa allahyarham sepatutnya dijadual berlepas menunaikan ibadah umrah 10 hari terakhir Ramadan di Tanah Suci Makkah pada 14 Jun dengan beberapa ahli keluarganya.

Dalam pada itu media tempatan melaporkan, jemaah tersebut ialah Izhar bin Moezalir, seorang pesara sebuah agensi pemerintah yang berusia 57 tahun dan berasal dari Bandung, Jawa Barat. – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com