Mangsa Buli Selamat Disemadikan


GEORGE TOWN - Jasad mangsa buli, T. Nhaveen, 18, selamat disemadikan dengan cara dibakar di Krematorium Batu Gantung, di sini Jumaat.

Jasad mendiang dibawa dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) ke krematorium itu selepas proses bedah siasat selesai kira-kira pukul 1 pagi Jumaat.

Ibu Nhaveen, D. Shanti dan adik perempuannya berusia 15 tahun bersama kira-kira 1,000 anggota keluarga dan sahabat handai kepada keluarga berkenaan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada remaja yang maut akibat dibuli dan dipukul itu.

Turut memberikan penghormatan terakhir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Suasana pilu dan hiba menyelubungi perkarangan krematorium itu apabila anggota keluarga dan sahabat handai mendiang Nhaveen yang memenuhi krematorium itu sejak pukul 7 pagi tidak dapat menahan kesedihan sejurus melihat jasad mendiang.

''We Want Justice'' oleh anggota keluarga dan sahabat handai mendiang turut kedengaran sebelum upacara keagamaan berlangsung.

Terdahulu, upacara keagamaan berlangsung selama dua jam yang turut diiringi dengan pukulan gendang sebagai memulakan upacara.

Jasad Nhaveen kemudiannya dibawa ke pusat pembakaran pada pukul 3.30 petang untuk proses persemadian mengikut cara dibakar.

Sementara itu, ibu saudara mendiang G. Premalatha berkata mereka sekeluarga tidak mahu menuntut apa-apa selain daripada keadilan untuk Nhaveen.

"Dengan keadilan kami yakin roh Nhaveen akan lebih tenang dan kami menuntut keadilan ini kerana tidak mahu kejadian sama berulang kepada orang lain," katanya.

Nhaveen yang dibuli dan dipukul sehingga mengalami kecederaan parah oleh sekumpulan remaja awal pagi Sabtu lepas di Jalan Kaki Bukit, Taman Tun Sardon di sini meninggal dunia di HPP pada pukul 6 petang Khamis.

Dalam kejadian pada pukul 2.10 pagi Sabtu lepas, lima remaja berusia antara 16 dan 18 tahun dilapor memukul Nhaveen dan rakan baiknya T. Previin menggunakan topi keledar.

Previin yang turut cedera dan kini dirawat di HPP bagaimanapun dapat melarikan diri ketika mereka dikatakan cuba diheret ke padang berdekatan.

Nhaveen yang mengalami kecederaan parah dilapor turut mengalami kesan koyak pada duburnya akibat ditusuk objek tumpul serta kesan terbakar di bahunya.

Susulan kejadian itu, polis menahan lima remaja termasuk dua pelajar tingkatan empat dan lima bagi membantu siasatan kes itu.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com