Mahkamah Tolak Rayuan Anwar Untuk Mengundi Di PRK Permatang Pauh


PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan semalam menolak rayuan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memohon deklarasi beliau mempunyai hak mengundi dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh, dua tahun lalu.

Dalam mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi tahun lepas, tiga panel hakim yang dipengerusikan Umi Kalthum Abdul Majid sebulat suara memerintahkan Anwar membayar kos RM5,000 kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kami menolak rayuan dengan bayaran kos dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan deklarasi perayu (Anwar),” katanya.

Dua hakim lain adalah Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim.
N. Surendran yang merupakan sebahagian daripada pasukan peguam Anwar berkata pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Terdahulu, peguam Anwar, Gopal Sri Ram berkata SPR menafikan hak Anwar untuk mengundi di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata SPR menegaskan afidavit iaitu kliennya berhak mengundi kerana beliau tidak disabitkan kesalahan semasa mendaftar sebagai pengundi di kawasan itu.

Peguam kerajaan Datuk Amarjeet Singh berkata, walaupun SPR tidak mempertikaikan hak mengundi Anwar, Perkara 119 menyatakan seorang pengundi tidak boleh mengundi ketika menjadi banduan atau dalam keadaan tidak siuman.

Anwar, 69, menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas beliau disabitkan dengan tuduhan meliwat.

Beliau memfailkan rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya mendapatkan deklarasi mengenai haknya mengundi pada pilihan raya kecil diadakan pada 7 Mei 2015.

Mahkamah Tinggi pada 15 Julai tahun lepas memutuskan SPR tidak mempunyai bidang kuasa untuk membawa Anwar ke pusat pengundian dalam mana-mana pilihan raya.

Mahkamah juga berpendapat seseorang tahanan harus memohon kepada ketua pengarah Jabatan Penjara sebelum dibenarkan mengundi.

Sumber: FMT

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com