Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-kanak Dilancar Khamis Ini


KUALA LUMPUR - Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak yang akan dilancarkan Khamis ini membuktikan keprihatinan kerajaan membanteras penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak serta melindungi mereka secara holistik.

Pelancaran mahkamah itu di pusat pentadbiran kerajaan, Putrajaya, dijadual disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kewujudan mahkamah itu juga selaras dengan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak- Kanak 2017 yang diluluskan di Parlimen, April lepas.

Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan sebanyak 5,779 kes penderaan seksual kanak-kanak direkodkan dari 2010 hingga 2015 dengan purata kes sebanyak 963 kes setahun.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula merekodkan 2,759 kes rogol, 412 kes sumbang mahram, 1,423 kes mencabul kehormatan dan 422 kes luar tabii melibatkan mangsa di bawah 18 tahun bagi tempoh 2015 dan 2016.

Negara sebelum ini juga digemparkan dengan isu pedofilia apabila seorang jurufoto bebas warga British, Richard Huckle dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di London pada 6 Jun lepas, kerana kesalahan pencabulan seksual terhadap 23 kanak-kanak di Malaysia serta bayi dan kanak-kanak di Kemboja dalam tempoh hampir satu dekad.

Penubuhan mahkamah itu pasti melegakan keresahan banyak pihak yang mahukan penguatkuasaan dan perlindungan yang berkesan terhadap kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual.

Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata sebagai badan yang terlibat dalam pasukan petugas khas itu, harapan utama NCWO untuk melihat ibu bapa atau penjaga yang sebelum ini kurang berminat untuk meneruskan pendakwaan kes melibatkan anak-anak mereka untuk tampil memperjuangkan keadilan.

"Sebelum ini mungkin mereka fikir kes akan mengambil masa yang lama, sehingga menjangkau bertahun-tahun, anak terlibat pun dewasa dan mereka akan malu, tetapi dengan tertubuhnya mahkamah ini kita harap proses pendakwaan akan berlangsung dengan efektif, pantas dan penjenayah dapat dihukum dengan cepat," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sharifah Hapsah berkata NCWO berharap semua kes yang dibawa ke mahkamah itu akan dapat diselesaikan dalam masa setahun atau lebih cepat dari itu bagi menyemai keyakinan dalam diri ibu bapa dan penjaga bahawa institusi kehakiman tersebut komited membela nasib anak mereka.

Dalam pada itu, katanya kempen kesedaran agar masyarakat membuka mata mengenai jenayah seksual kanak-kanak juga perlu seiring dengan penubuhan mahkamah itu.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Nazariah Sharie Janon berkata komitmen daripada kerajaan itu perlu mendapat kerjasama daripada masyarakat.

"Kerajaan sudah wujudkan platform yang boleh menghukum penjenayah kanak-kanak ini, peranan masyarakat pula ialah menjadi penyalur maklumat supaya kes-kes terbabit dapat diadili dengan sebaik mungkin, jangan tutup mata terhadap jenayah seksual kanak-kanak kerana telah ada saluran untuk menghukum penjenayahnya," tegasnya.

Pensyarah Undang-undang UIAM, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz pula berkata wujudnya mahkamah khusus ini menunjukkan kerajaan menyediakan satu platform lengkap dengan kepakaran berkaitan dan sumber manusia yang cekap bagi membicarakan kes-kes melibatkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Selain mengurangkan kesibukan di Mahkamah Tinggi sebelum ini dari segi hak asasi manusia, mahkamah ini akan memberikan keadilan sebaiknya kepada pihak mangsa dan pihak yang didakwa.

Bagaimanapun, katanya, kesediaan dan kesedaran masyarakat dalam mendedahkan bukti mengenai jenayah seksual kanak-kanak amat penting supaya misi kerajaan membanteras salah laku seksual terhadap kanak-kanak dijayakan ke tahap maksimum. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com