Lelaki Bangladesh Ditemui Mati Dikerat Di Sungai Petani

 Image result for Lelaki Bangladesh Ditemui Mati Dikerat Di Sungai Petani

LELAKI warga Bangladesh yang bekerja sebagai buruh kontrak pembinaan ditemui mati dibunuh dalam keadaan kejam apabila mayatnya dikerat sebelum dimasukkan ke dalam tiga karung guni plastik di rumah berkembar satu tingkat di Kampung Pengkalan Lebai Man, Sungai Petani 1 pagi, semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, mangsa yang dikenali sebagai Azad Late Mofyanuddin, 38, ditemui selepas teman wanita mangsa warga tempatan, 31, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Sungai Petani untuk mengesan teman lelakinya yang disyaki hilang sejak Jumaat lalu.

“Menurut teman wanita mangsa, dia cuba bertemu dengan teman lelakinya di rumah sewa di Kampung Pengkalan Lebai Man itu sebelum ini, namun dihalang oleh dua rakan senegara mangsa yang tinggal serumah.

“Teman wanita mangsa mempunyai akses ke rumah itu berbekalkan kunci yang pernah diberikan oleh mangsa. Dia kemudian bersama anggota polis masuk ke rumah berkenaan dan apabila dibuka, didapati kedua-dua teman serumah mangsa sudah tiada.

“Namun, terdapat bau busuk memenuhi segenap ruang berkenaan dan pemeriksaan lanjut di dapur rumah itu mendapati terdapat kesan air kehitaman yang mengalir di bahagian bawah di belakang kabinet dapur berkenaan” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, semalam.

Tambahnya, polis yang memeriksa rumah itu kemudian menemui tiga bungkusan guni plastik yang disumbat di bawah ruang berkenaan.

“Ketika guni itu dibuka, polis mendapati terdapat bahagian badan manusia yang dipotong menggunakan senjata tajam dan kita percaya mangsa sudah dibunuh dan dikerat di dapur berkenaan sejak empat hari lalu iaitu pada 10 Jun.

“Bahagian mayat itu sudah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat dan kita masih belum dapat mengenal pasti berapa banyak bahagian badannya yang dikerat serta motif pembunuhan” katanya.

Sehubungan itu, Asri berkata, polis kini meminta dua rakan serumah mangsa yang menghilangkan diri selepas kejadian untuk tampil membantu polis siasatan ini dan pihaknya juga sedang giat mengesan mereka.

“Kedua-dua lelaki itu itu dikenali sebagai Zul berusia 37 tahun dan bekerja sebagai pembantu kedai di kedai makanan sejuk beku di Pekan Lama Sungai Petani dan Nur yang berusia 50 tahun yang bekerja di kilang di Bakar Arang, Sungai Petani.

“Kedua-duanya adalah warga Bangladesh.

“Mangsa dipercayai sudah tinggal di rumah sewa itu bersama dua rakannya sejak lima bulan lalu dan kita percaya kedua-dua rakan serumah ini dapat membantu siasatan kami untuk menyelesaikan kesini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: Harian Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com