Laluan Seksyen 1.9, Jalan Tapah-Ringlet Ditutup Akibat Banjir Kilat


TAPAH - Hujan lebat hampir dua jam di sekitar di Tapah menyebabkan banjir kilat hingga laluan di Seksyen 1.9, Jalan Tapah-Ringlet berhampiran Taman Highlands Park di sini ditutup kepada semua kenderaan.

Jurutera Daerah, Saiful Azzuan Aznam berkata, laluan sepanjang 80 meter itu ditutup sejak pukul 5 petang berikutan limpahan air Sungai Cheroh yang menyebabkan paras air meningkat setinggi hampir satu meter.

Bagaimanapun katanya, keadaan kini terkawal dengan paras air mulai surut dan dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

"Namun ia bergantung kepada keadaan cuaca. Oleh itu pengguna disarankan mengambil laluan alternatif dengan melalui Jalan Simpang Pulai untuk ke Cameron Highlands atau melalui Plaza Tol Tapah dan keluar di Plaza Tol Bidor," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, Rani Mat Hanafiah berkata, antara laluan yang dinaiki air adalah Taman Melor, Batu 5 Jalan Pahang dan Pekan Tapah.

"Hujan lebat mulai turun sekitar pukul 3.30 petang menyebabkan banyak jalan dan kawasan tidak dapat dilalui terutama kenderaan ringan," katanya. 

Sumber : Utusan Online


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com