KPDNKK Pulau Pinang Periksa 2,556 Gerai Bazar Ramadan


KEPALA BATAS - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang memeriksa 2,556 gerai yang beroperasi di bazar Ramadan di seluruh negeri bagi tempoh 27 Mei sehingga kelmarin.

Pengarahnya Mohd Nawardi Saad berkata hasil pemantauan dan pemeriksaan dijalankan secara berkala itu tiada peniaga dikenakan tindakan kompaun atau surat amaran kerana gagal mempamerkan tanda harga.

"Sehingga semalam (kelmarin), tiada aduan dibuat mengenai kenaikan harga makanan atau minuman yang dijual di bazar Ramadan dan pemeriksaan juga mendapati harga ditawarkan adalah berpatutan.

"Aktiviti penguatkuasaan KPDNKK itu akan diteruskan sehingga 24 Jun bagi memastikan tiada peniaga cuba mengambil kesempatan menaikkan harga sewenang-wenangnya," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2017 di Tesco Bertam Perdana di sini semalam.

Sebanyak 19 jenis barangan harga terkawal dikuatkuasakan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2017 di Pulau Pinang bermula semalam sehingga 30 Jun.

Antara barangan yang disenaraikan sebagai barang kawalan ialah ayam hidup, telur ayam, daging lembu tempatan, daging kerbau import, cili merah, tomato, kelapa parut, kubis bulat dan ikan kembung.

Sementara itu, Mohd Nawardi berkata semua peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan oleh KPDNKK dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi membezakan barangan lain.

"Tanda harga perlu dipamerkan dengan jelas bagi memudahkan pengguna dan peniaga juga digalakkan untuk menjual barangan itu lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga diperoleh adalah lebih rendah," katanya.

Beliau berkata pihaknya bekerjasama dengan Friends of KPDNKK, skuad penguna, penghulu dan ketua masyarakat untuk memantau serta memberi maklum balas mengenai pelaksanaan skim itu, selain turut menempatkan penguatkuasa KPDNKK di lokasi tumpuan orang ramai membeli belah.

Katanya mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan skim itu boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Orang ramai boleh membuat aduan atau menyalurkan maklumat berhubung peniaga yang tidak mematuhi peraturan di bawah skim itu menerusi talian bebas tol 18000-886-800 atau hadir di mana-mana pejabat KPDNKK di Pulau Pinang, katanya. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com