Khutbah Jumaat Guna Bahasa Isyarat

  Khutbah Jumaat guna bahasa isyarat

NILAI - Bagi memudahkan golongan cacat pendengaran, khutbah Jumaat di Kompleks Islam Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), di sini, turut disampaikan menerusi bahasa isyarat.

Inisiatif itu diambil Pusat Islam Usim dengan kerjasama Yayasan Faqeh sejak 9 Jun lalu apabila sukarelawan Sahabat Faqeh terdiri mahasiswa Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah (FPQS) akan bergilir-gilir menjadi jurubahasa isyarat.

Pada masa sama, paparan visual secara langsung turut disediakan yang dikendalikan Unit Multimedia dan Info Digital Pusat Komunikasi Strategik Usim.

Jurubahasa isyarat, Muhammad Zaid Abdul Samat, 23, berkata, dia bertuah kerana diberi kepercayaan mengendalikan bahasa isyarat berkenaan, sekali gus memberi peluang menonjolkan kemahiran dipelajari.

“Saya dan rakan-rakan yang mengambil kursus Dakwah Tanpa Suara di FPQS merasakan peluang terbaik yang diberikan Usim dan Pusat Islam untuk kami tonjolkan kemahiran yang kami pelajari.

“Terjemahan bahasa isyarat untuk khutbah Jumaat yang disampaikan bukan saja untuk teks bahasa Melayu, malah bahasa Arab dan Inggeris serta ayat-ayat al-Quran dan hadis,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Pensyarah Kursus Braille di FPQS, Norakyairee Mohd Raus berkata, tidak banyak masjid yang menyediakan khidmat jurubahasa isyarat semasa khutbah.

“Kadang-kadang kita terlepas pandang terhadap amanah dipertanggungjawabkan dalam mendidik OKU menerima agama.

“Apa yang dibuat Usim ini adalah amat baik.  Ia juga salah satu bentuk dakwah kepada golongan OKU,” katanya

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com