Kerusi Lenting Milik Pesawat Hawk 108 Ditemui


DUA kerusi lenting dan beberapa serpihan pesawat Hawk 108 antara penemuan terbaru dalam operasi berhampiran Kampung Yak Yah, Chukai, Terengganu.

Markas Tentera Udara dalam kenyataannya hari ini berkata, TUDM akan meneruskan operasi mencari serpihan pesawat dalam usaha melengkapkan siasatan bagi menentukan punca kejadian.

Menurutnya, keadaan muka bumi dan tanah lembut menyukarkan operasi.

Bagaimanapun katanya, TUDM mendapat bantuan daripada beberapa agensi dalam usaha mencari dan mengumpulkan serpihan pesawat.

"Antara agensi yang terbabit ialah Tentera Darat Malaysia, Rejimen Askar Jurutera Diraja, polis dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE)," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, TUDM menafikan dakwaan pesawat Hawk 108 sebagai bermasalah kerana ia sudah melalui proses penerbangan pemeriksaan pasca senggaraan dua hari sebelum nahas.

Katanya, TUDM tidak berkompromi mengenai keselamatan pesawat dan sentiasa memberikan keutamaan ketika penyelenggaraan yang dilakukan di bawah kawalan TUDM.

Dalam kejadian 11.30 pagi Khamis, pesawat pejuang Hawk 108 dinaiki Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, dan Mejar Mohd Hasri Zahari, 31, terputus hubungan selepas 30 minit berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan, Pahang.

Operasi SAR dijalankan menemui kedua-dua mangsa di Chukai, Kemaman, Terengganu pada 2.30 petang hari kejadian.

Sumber : MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com