Keropok Tumis Hampir Pupus Di Terengganu Muncul Ramadan Ini


KUALA TERENGGANU – ‘Keropok tumis’ yang dikatakan hampir pupus di Terengganu tiba-tiba muncul popular di Bazar Ramadan Syahbandar, di sini ketika ini.

Orang ramai boleh menikmati delikasi tiga rasa ini jika berkunjung ke gerai Alias Abdullah, 47, dari generasi ketiga perusahaan keropok tersebut.

“Resipi yang mengandungi rasa masam, masin dan manis ini diwarisi daripada ahli keluarga sejak sekian lama, bermula daripada ibu saya yang sebelum itu belajar memasak daripada arwah nenek.

“Saya hanya membuatnya pada bulan puasa sebagai keluaran ‘eksklusif,” kata Alias.

“Keropok tumis ini memang sukar untuk ditemui dan hanya orang tertentu tahu menghasilkan delikasi ini,” tambahnya di sini.

Alias berkata sepanjang Ramadan ini, beliau menyediakan 300 batang keropok tumis sehari dan selalunya habis terjual dalam tempoh tidak sampai dua jam.

Alias berkata, proses membuat keropok tumis memakan masa kira-kira dua jam meliputi menumis cili, bawang, cuka, gula dan beberapa rempah lain sebelum memasukkan keropok lekor yang telah sedia direbus.

Katanya, selain penduduk tempatan, pelanggan dari Kuala Lumpur dan Pahang, turut berkunjung ke gerainya semata-mata untuk menikmati keropok tumisnya.

Tinjauan Bernama mendapati di bazar yang memuatkan lebih 100 peniaga itu, hanya Alias menjual keropok tumis.

Ia dijual pada harga RM2 sebungkus yang mengandungi enam batang keropok, setiap satu dipotong lapan sentimeter. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com