Kerajaan Negeri Sarawak Akan Buat Rayuan Kes ADUN Pujut


KUCHING - Kerajaan negeri akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan Persekutuan berhubung isu pemecatan wakil rakyat DAP, Dr Ting Tiong Choon.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg berkata, ketika ini Peguam Besar Negeri Sarawak, Talat Mahmood Abdul Rashid, sedang meneliti proses perundangan yang diperlukan bagi mengukuhkan rayuan itu.

"Kami (kerajaan negeri) menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuching kelmarin, tetapi kami akan membuat rayuan berhubung keputusan itu.

"Bila rayuan itu akan dikemukakan, bergantung kepada Peguam Besar Negeri kerana beliau yang mewakili kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengagihan Sumbangan Aidilfitri di Dewan Datuk Hajjah Juma'ani, Sekolah Rakyat Jalan Haji Bolhassan, di sini, semalam.

Turut hadir, isteri beliau Datin Amar Juma'ani Tuanku Bujang dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Abang Johari berkata, beliau berharap rayuan itu akan dikemukakan selepas Aidilfitri ini.

Kelmarin, Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Datuk Douglas Christ Primis Sikayun, memutuskan Dr Tiong Choon, dikembalikan statusnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut walaupun beliau dipecat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 12 Mei lalu.

Berikutan keputusan itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Pujut yang ditetapkan 4 Julai ini turut dibatalkan.
Douglas Christ ketika membuat penghakiman berkenaan berkata Dr Tiong Choon, tidak diberi ruang mencukupi untuk membela dirinya yang didakwa memiliki kewarganegaraan Australia, selain Speaker DUN, Datuk Amar Asfia Awang Nassar, disifatkan membuat takrifan perundangan yang tidak tepat berkenaan hal kewarganegaraan.

Katanya, Dr Tiong Choon, juga dinafikan hak mendapat keadilan asasi bagi membela dirinya atas dakwaan memiliki kewarganegaraan negara berkenaan.

Sementara itu, Douglas Chirist  turut memerintahkan Mohamad Asfia dan Menteri Kewangan II Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh, supaya membayar bersama kos guaman RM100,000 kepada Dr Tiong Choon. - Bernama.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com