Keputusan Awal Ujian: Tiada Bendasing Plastik Ditemui Dalam Beras Cap Rambutan

Paparan skrip video tular seorang lelaki mendakwa beras Cap Rambutan sebagai beras plastik.
KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani  mendapati tiada bendasing plastik dijumpai dalam beras cap Rambutan Super Special Tempatan Lima Peratus berdasarkan keputusan awal ujian yang dijalankan.

Kementerian itu berkata, pemeriksaan dan siasatan dilakukan terhadap kilang beras jenama berkenaan di Mergong, Alor Setar susulan video tular yang mendakwa beras berkenaan sebagai beras plastik.

'Beberapa siri ujian telah dijalankan seperti ujian ketahanan beras, ujian iodin bagi menguji kandungan kanji serta ujian bakar dan masak,' katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Bagaimanapun katanya, sampel beras telah dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis lanjut.

Kenyataan itu menyebut hasil pemeriksaan juga mendapati tidak terdapat kelengkapan mesin untuk menghasilkan beras plastik di premis itu.

Kementerian itu berkata, syarikat berkenaan juga memperoleh bekalan beras dari sumber sah iaitu daripada petani dan pengilang tempatan.

'Siasatan dan pemeriksaan yang sama akan dijalankan di kilang pengeluar negeri Perak pada 19 Jun  (esok),' kata kenyataan itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perkara tersebut boleh menghubungi Pejabat Kawal Selia Padi di setiap negeri bagi memastikan siasatan dapat dijalankan serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com