Kematian Pegawai Kadet: Lima Didakwa Bunuh, Seorang Subahat


KUALA LUMPUR - Sebanyak enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain, Mei lalu.

Kesemua penuntut yang berusia 21 tahun itu hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka selesai dibacakan di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Md. Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri didakwa bersama-sama membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, Kem Perdana, Sungai Besi di sini antara pukul 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, seorang lagi penuntut, Abdoul Hakeem Mohd. Ali pula didakwa bersubahat bersama lima tertuduh melakukan perbuatan tersebut pada masa dan tempat sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang memperuntukkan hukuman serupa.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh.

Sementara itu, 13 penuntut lagi akan didakwa atas pertuduhan berkaitan kematian petang ini.

Zulfarhan Osman, 21, Pegawai Kadet Laut UPNM meninggal dunia di Hospital Serdang kira-kira pukul 10 malam, 1 Jun lalu dengan kesan lebam dan melecur pada badan dipercayai didera dengan seterika wap. 

Sumber : Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com