Kelindan Lori Didakwa Peras, Rogol Jururawat


SHAH ALAM – Seorang kelindan lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan melakukan pemerasan dan merogol seorang jururawat yang juga bekas teman wanitanya, di sebuah hotel di Seksyen 13 di sini, awal bulan ini.

Che Mohd Shahril Che Mohd, 30, dari Kuala Terengganu, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Tertuduh didakwa melakukan pemerasan yang mendatangkan ketakutan kepada wanita itu dengan hendak menyebarkan gambar separuh bogelnya dan memaksa mangsa menyerahkan wang RM3,000, menyebabkan wanita itu menyerahkan wang RM1,000 kepada tertuduh.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di hotel berkenaan, antara 2.10 petang hingga 3 petang, pada 2 Jun lepas.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.

Che Mohd Shahril yang ditangkap sehari selepas kejadian, juga menghadapi satu lagi pertuduhan merogol wanita berusia 21 tahun itu di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ain Shafie yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh atas alasan lelaki itu mengenali mangsa dan memohon jumlah yang tinggi sekiranya mahkamah cenderung untuk membenarkan tertuduh diikat jamin.

Hakim Ahmad Zamzani kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM35,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 19 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali dan melarang lelaki itu mengganggu, mendekati atau berhubungan dengan mangsa serta saksi-saksi sehingga kes selesai. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com