Kekayaan Anak: Ramai Nak Tahu, Mahathir Tetap Perlu Jawab


ALOR SETAR - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad sewajarnya berjiwa besar untuk menjawab persoalan dari Exco Armada yang bertanyakan soal kekayaan yang dianggap "luar biasa" yang dimiliki oleh anak bekas Perdana Menteri itu.

Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pertikaian beberapa Exco Armada itu berasas dan penjelasan perlu diberikan kepimpinan PPBM.

Lebih menyedihkan, PPBM sebaliknya mengalihkan isu berkenaan dengan menyalahkan UMNO dengan pelbagai alasan yang dangkal dan tidak munasabah.

"Kalau sebelum ini pimpinan PPBM menuduh UMNO tidak telus atau membina kekayaan atas dasar kuasa politik, mereka pun perlu tampil dan beri penjelasan bukan sekadar kembali menuding jari terhadap UMNO atas pelbagai alasan.

"Pemuda UMNO Kedah percaya rungutan dan kenyataan dua exco ARMADA sebelum ini mempunyai asas dan perlu disiasat. PPBM tidak boleh menjadi ayam jantan berkokok lantang dan pada masa sama, ekor bergelumang najis," katanya.


Shaiful Hazizy bagaimana pun meluahkan rasa hairan apabila kepimpinan PPBM langsung tidak memberi respon terhadap persoalan tersebut, sedangkan ia amat berkait dengan integriti dan ketelusan yang selama ini dilaungkan parti tersebut.

Exco Armada, Muhammad Hafiz Azhar, sebelum ini mempersoal dan meminta supaya Mahathir tampil memberi penjelasan segera berhubung kekayaan anak-anaknya.

 "Kami orang muda mahu dipimpin oleh pemimpin politik yang telus dan bersih dari amalan rasuah. Kami tidak suka apabila pemimpin-pemimpin parti dilempar dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

"Justeru, kami meminta pemimpin utama parti, Dr Mahathir untuk tampil memberi pencerahan mengenai isu kekayaan luar biasa anak-anak beliau dalam masa yang singkat.

"Bagi kami, isu ini perlu dijawab segera bagi menangkis tuduhan dan menjaga nama baik parti serta memberi pencerahan secara jelas kepada kami anak-anak muda.

"Di akar umbi, isu ini sering dibangkitkan, maka kami perlukan jawapan," katanya pada satu sidang media.

Bagaimanapun, permintaan tersebut tidak dijawab oleh Mahathir, malah anaknya yang juga merupakan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhiz Mahathir mengaitkan Hafiz dengan UMNO gara-gara bertanyakan soalan yang mencetus persoalan ramai itu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com