Kehadiran PPBM Burukkan Pakatan, Antara Punca Anwar Tolak Tawaran PM?


ALOR SETAR - Kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ke dalam keluarga Pakatan Harapan (PH)  bukan penyebab gagasan parti pembangkang itu bertambah kuat tetapi sebaliknya memburukkkan keadaan yang sedia ada..

Ketua Pemuda UNNO Negeri Kedah, Datuk Saiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tanggapan Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah 'senjata politik baharu' juga adalah tidak benar, malah kehadiran negarawan itu hanya menjadi 'liabiliti' baharu kepada pihak pembangkang.

Kenyataan Dr. Mahathir yang tidak konsisten dan pada masa yang sama integriti kekayaan luar biasa keluarga beliau  boleh menjadi 'barah baharu' kepada Pakatan Harapan, kata Saiful Hazizy dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Kata beliau, pakatan pembangkang bagaimanapun diyakini  mampu berfungsi dengan lebih baik walaupun tanpa kehadiran atau penglibatan Dr. Mahathir yang kini Pengerusi PPBM.

Kini Pakatan Harapan sedang mengalami krisis keyakinan dan kepimpinan yang kronik apabila kepimpinan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak pencalonan PPBM untuk mengangkat Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri pada PRU14.

"Perkara ini memang sudah dijangka dan ianya akan menjadi kudis berkekalan dan sekaligus penghalang utama rakyat untuk memberi mandat kepimpinan kepada parti pembangkang, "kata Saiful Hazizy yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia.

Bagi Pemuda UMNO Kedah,mereka juga tidak yakin sama sekali keupayaan  Dr. Mahathir untuk dipertanggungjawabkan tugas  Pengerusi Pakatan Harapan yang akan dibentuk oleh DAP, PKR, PAN dan PPBM memandangkan faktor umur dan pendirian Dr. Mahathir yang sentiasa berubah.

Pemuda Kedah hairan dan terkejut  bagaimana kepimpinan pembangkang sanggup mempertimbangkan cadangan itu (melantik Dr. Mahathir selaku pengerusi gagasan), katanya.

Kemelut terakhir kini ialah Ketua Umum PKR dan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Sabtu lalu untuk menolak tawaran jawatan Perdana Menteri jika pembangkang menang PRU14. 

Anwar dalam kenyataan semalam berkata PPBM mengusulkan struktur Pakatan Harapan dirombak dengan pimpinan mereka diletakkan di jawatan pengerusi dan presiden pakatan.

Beliau khuatir rombakan itu akan merombak kerangka pakatan menjadikannya mirip BN.

“Maka kesediaan semua pihak dalam Pakatan Harapan untuk meneliti semula dan meminda cadangan tersebut dengan mengekalkan muafakat asal Pakatan Harapan adalah dialukan,” katanya.

Beliau melalui kenyataan yang dikeluarkan menerusi PKR pada Sabtu berkata, Pakatan Harapan harus memberikan perhatian kepada dasar negara, kepincangan sistem dan ke arah kemenangan PRU ke-14.

“Isu pinggiran lainnya, muslihat perebutan kuasa dan kedudukan atau keterlanjuran kata kurang sopan dalam Pakatan Harapan tidak harus diizinkan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com