Kebakaran Grenfell Tower Ragut 160 Nyawa?


LONDON  - Angka kematian tragedi kebakaran Grenfell Tower Rabu lalu dikhuatiri me­ningkat melebihi 60 orang ketika pihak polis London mem­berikan amaran bahawa kesemua mangsa tidak mungkin dapat dikenal pasti.

Asap tebal dilaporkan masih kelihatan di lokasi kejadian ma­na­kala pasukan bomba dan anjing pengesan berdepan de­ngan bahaya ketika memeriksa kawasan runtuhan apabila penutup luar bangunan boleh runtuh pada bila-bila masa.

Bilangan mereka yang terkorban dikatakan boleh mencecah 160 ketika akhbar The Sun dan BBC melapor­kan seramai 65 dan 76 orang masih hilang.

Polis menjangkakan bilangan korban akan terus me­ning­kat dan operasi mencari ma­yat mangsa serta mengesan identiti mereka boleh mengambil masa beberapa bulan lagi berikutan keadaan ba­ngunan menara setinggi 24 tingkat itu musnah teruk.

“Kami jangka tidak akan me­nemui lagi mangsa yang terselamat dan tidak semua kesemua mangsa korban dapat dikenal pasti. Kami harap angka kematian tidak akan mencecah sehingga 100 orang,” kata Komander Polis Metropolitan, Stuart Cundy.

Semalam, Kempen Solidariti Syria yang berpusat di London mengesahkan pelarian negara itu, Mohammed Alhajali, 23, yang tinggal di tingkat 14 Grenfell Tower terbunuh dalam kebakaran tersebut.

Mohammed dan abangnya, Omar Alhajali berada di kediaman mereka tetapi kedua-duanya terpisah semasa cuba menyelamatkan diri dan ha­nya Omar terselamat dan kini dirawat di sebuah hospital.

Kumpulan itu berkata, Mohammed yang merupakan pelajar kejuruteraan awam di West London University sempat bercakap di telefon dengan rakannya di Syria ketika kejadian dan meninggalkan pesanan kepada ahli keluarganya selepas melihat api semakin marak.

“Mohammed melakukan per­jalanan berbahaya untuk melarikan diri daripada kekejaman di Syria tetapi Britain gagal melin­dunginya,” kata kumpulan tersebut dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Perdana Men­teri Britain, Theresa May yang dikritik kerana tidak pergi me­ne­mui mangsa-mangsa kebakaran yang terselamat tetapi sekadar melawat tempat kejadian atas alasan keselamatan, berjanji akan melakukan siasatan awam penuh terhadap insiden kebakaran itu yang disahkan sekurang-kurangnya 30 maut setakat ini.

Berikutan kritikan ma­sya­ra­kat setempat, media dan ahli politik parti Konservatif sendiri, May dilaporkan akan menemui mangsa-mangsa insiden kebakaran itu.

Pada masa yang sama, media Britain menyatakan terdapat beberapa isu yang masih belum terjawab berhubung kejadian tersebut termasuk pemilihan bahan pada bahagian luar bangunan tersebut yang dikatakan menjadi punca api marak de­ngan cepat.

Panel aluminium yang di­tam­bah di bahagian luar blok ketika proses membaik pulih Mei tahun lalu dikatakan telah diha­ram­kan di Amerika Syarikat (AS) untuk dipasang pada ba­ngunan melebihi 12 meter tinggi atas sebab-sebab kese­la­matan kerana sifatnya yang mudah terbakar.– AGENSI

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com