KCS Zahir Rasa Amat Selesa Dengan Pentadbiran Ahmad Bashah


ALOR SETAR - Pegawai-Pegawai Tadbir Kerajaan Negeri Kedah (KCS) menzahirkan rasa lega dan selesa dengan corak pentadbiran Kerajaan Negeri yang kini dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Bakar Din berkata, pendekatan Kerajaan Negeri dengan menyediakan sumber peruntukan yang mencukupi menyebabkan berlaku persaingan di kalangan Pegawai-Pegawai Daerah untuk menganjurkan lebih banyak program yang memberi manfaat kepada rakyat.

Jelas beliau, Menteri Besar sebelum ini juga meminta pelbagai program dilaksanakan, namun tiada sebarang peruntukan diberi berbanding Ahmad Bashah yang sanggup bersusah payah mencari dana untuk disalurkan bagi melaksanakan pelbagai program berfaedah.

"Corak pentadbiran sekarang menjadikan kami dekat dengan rakyat. Pegawai-Pegawai Daerah dok lawan buat program. Dulu nak bagi tapi sumber tidak diberi. Tapi sekarang sumber ada dan diberi.

"Jadi, Tuan-Tuan Pegawai Daerah ini pun seronok buat program di kawasan masing-masing untuk terus berbakti kepada rakyat Kedah," katanya ketika berucap dalam satu perjumpaan KCS bersama Menteri Besar Kedah yang berlangsung di Wisma Darul Aman, semalam.

Selain itu, Bakar turut menjelaskan bahawa meskipun masih terdapat aduan tentang masalah di kalangan rakyat tempatan, namun ianya jelas semakin berkurang ekoran sudah banyak isu dan permasalahan rakyat yang telah berjaya diselesaikan menerusi KCS.

Penyelesaian masalah tersebut dilakukan dengan cepat oleh pegawai-pegawai terbabit dan keberkesanannya telah menyebabkan aduan makin reda berbanding sebelumnya.

"Komplen awam juga berkurangan. Bukan tiada langsung aduan, tapi berkurangan kerana banyak isu dapat diselesaikan dengan cepat dan berkesan," katanya lagi.

Paling jelas kata beliau, hubungan baik dan harmoni di antara Kerajaan Negeri dengan KCS telah menyaksikan persefahaman jitu terjalin di dalam pentadbiran negeri yang dilihat meningkatkan prestasi serta amalan urus tadbir dengan lebih efektif.

Keadaan itu telah menyebabkan KCS menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana diketuai oleh Ahmad Bashah selaku seorang Menteri Besar yang penuh dedikasi dan amat memahami keperluan serta kehendak rakyat di negeri Kedah.

"Prestasi yang baik. Hubungan antara pentadbiran dengan kerajaan sangat baik dan harmoni. Terutama sekali dalam sistem pentadbiran untuk melaksanakan perkhidmatan kerajaan terhadap rakyat.

Justeru itu, beliau mengingatkan bahawa KCS adalah merupakan golongan pelaksana kepada pelbagai dasar dan hasrat kerajaan dan tanggungjawab itu harus dipikul dengan rasa amanah bagi memacu kemajuan negeri Jelapang Padi ini.

"KCS adalah pelaksana kepada hasrat kerajaan dan kita selesa dengan kerja sama yang dibentuk.

"Matlamat kita adalah supaya negeri Kedah ini terus maju," katanya. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com