Kastam Rampas 999kg Tembakau Shisha

 

SEPANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merampas 999 kilogram (kg) 'Smoking Tobacco' atau tembakau untuk menghisap shisha bernilai RM215,784. 

Timbalan Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) KLIA, Abdul Wahid Sulong, berkata rampasan berkenaan membabitkan kegagalan membayar cukai sebanyak RM109,458. 

Jelas beliau, sekali imbas bekas yang membawa 'smoking tobacco' itu menyerupai kotak teh hijau yang dijual di pasaran. 

"Bertindak atas maklumat, satu pasukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA menjalankan pemeriksaan di Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA dan menemui 37 kotak yang disyaki dibawa melalui penerbangan Oman Air dari Dubai ke Kuala Lumpur pada 17 Jun lalu. 

"Siasatan awal menunjukkan barangan berkenaan diikrar sebagai 'Molasses Flavour' dan alamat yang tertera pada borang berkenaan di Klang adalah palsu," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA, di sini, hari ini. 

Abdul Wahid berkata, pengimportan 'Smoking Tabacco' memerlukan lesen import di bawah Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Kastam 1977 dan sehingga kini, siasatan menunjukkan tiada permit dikemukakan untuk dagangan berkenaan. 

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan di mana jika bersabit kesalahan, boleh didenda minimum 10 kali ganda nilai barangan atau maksimum 20 kali ganda nilai barangan yang disita atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya. 

Abdul Wahid turut meminta orang ramai supaya bekerjasama dengan pihak JKDM bagi menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan dadah atau sebarang barang larangan yang memerlukan permit. 

"JKDM memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan dan pemberi maklumat yang berdaftar akan diberi ganjaran bagi setiap maklumat yang berjaya menghasilkan kes," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com