KARMA Gembirakan Pesakit Di Hospital Sungai Siput


SUNGAI SIPUT - Pertubuhan Kemajuan dan Akal Rakyat Malaysia (KARMA) semalam mengagihkan 55 bungkusan hamper kepada sebilangan pesakit yang menjalani rawatan di Hospital Sungai Siput.

Pengerusinya Vincent David berkata program yang mendapat kerjasama Hospital Sungai Siput, MIC Bahagian Sungai Siput dan Pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Siput itu bertujuan meringankan beban selain memberikan sedikit kegembiraan kepada para pesakit.

Beliau berkata pihaknya turut berharap sumbangan yang diberikan itu dapat memberi motivasi sekali gus meningkatkan semangat pesakit yang bertungkus-lumus berusaha untuk kembali sembuh.

"Sumbangan yang kita agihkan dalam bentuk hamper ini bukan sahaja diberikan kepada pesakit daripada pelbagai kaum dan agama.

"Walaupun ia pertama kali dianjurkan namun sambutan yang kita terima amat menggalakkan," katanya ketika ditemui di hospital berkenaan.

Vincent berkata selain program terbabit, pihaknya juga akan menyumbangkan bantuan berbentuk sistem siar raya kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Elphil dan SJKT Enggor di sini.

"Apa yang penting kita cuma nak bantu rakyat dan beri keselesaan kepada mereka mengikut keperluan dan kemampuan yang ada pada KARMA," katanya.

Mengulas lanjut, katanya KARMA akan menganjurkan satu program khas pada pertengahan Julai depan khusus untuk masyarakat Orang Asli yang tinggal di sekitar daerah Sungai Siput.

Katanya selain menyasarkan kehadiran lebih 4,000 pengunjung, program itu juga akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik bersesuaian dengan jiwa masyarakat berkenaan.

"Kita nak raikan mereka dan pada masa yang sama kita tidak mahu mereka jauh daripada kita. Kita mahu jurang itu didekatkan dan pada masa yang sama semua kaum dapat hidup secara erat dan bertoleransi," katanya. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com