Kanak-kanak Tiga Tahun Cemas Kepala Tersepit Di Dalam Lubang Katil Urut

 

IPOH – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mengalami detik cemas selama hampir sejam selepas kepalanya tersepit di dalam lubang katil urut di sebuah kedai urut di Jalan Temenggong, Taman Ros, Pasir Puteh di sini pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 11 pagi itu, difahamkan mangsa sedang bermain-main di bawah katil tersebut sebelum memasukkan kepalanya ke dalam lubang katil urut tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Ismail Darus berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada ibu mangsa pada pukul 11.17 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.

"Tiba di tempat kejadian, kepala mangsa masih lagi tidak dapat dikeluarkan dari lubang tersebut walaupun ada usaha untuk mengeluarkannya oleh ibu mangsa.

"Anggota menggunakan gunting dan pisau untuk memotong kulit katil urut jenis PVC dan span di sekeliling lubang bagi memudahkan proses mengeluarkan kepala mangsa,” katanya.

Katanya, kepala mangsa berjaya dikeluarkan tanpa sebarang kecederaan sebelum diserahkan kepada ibunya.

Sumber: Kosmo

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com