Kanak-kanak Hidap Kanser Di Sik Gembira Dapat Sambut Aidilfitri Di Rumah


SIK - Pesakit kanser, Fatimatusyaherah Mohamad Desa, 8, begitu teruja untuk menyambut Aidlfitri di rumahnya, tahun ini, selepas terpaksa beraya di hospital pada tahun lepas.

Fatimatusyaherah atau lebih mesra dengan panggilan Syirah, berkata, tahun lepas dia perlu menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Pulau Pinang dan kemudiannya terpaksa ditahan di wad untuk pemantauan.

"Tapi tahun ini saya rasa seronok sangat sebab boleh beraya di rumah bersama keluarga," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya, di Kampung Kemelong dekat sini, semalam.

Sementara itu, ibunya, Sarimah Bakar, 48, berkata, anak bongsu dari tiga beradik itu disahkan menghidap "Acute Pro Myelocytic Leukimia", tahun lalu selepas mengalami demam yang berpanjangan.

"Dia dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Sik, namun punca penyakitnya gagal di kesan, sehinggalah satu hari, jantungnya berdegup terlalu laju menyebabkan dia dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

"Selepas mengetahui penyakitnya, Syirah kemudiannya dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan menjalani rawatan kimoterapi di sana," katanya.

Menurut Sarimah, Syirah kembali demam selepas rawatan kali pertama menyebabkan doktor hampir tidak mahu melakukan rawatan kedua, bagaimanapun semangat Syirah amat kental dan dia meminta agar rawatan diteruskan.

"Selepas rawatan kedua pada Julai tahun lalu, kesihatannya bertambah baik, namun setiap bulan kami perlu membuat rawatan susulan di HPP.

"Sehingga kini, saya dan suami (Mohamad Desa Mohamad Noor, 50), sentiasa mengawal pengambilan diet harian Syirah, bagi mengelakkan sel-sel kanser kembali aktif jika tersalah makan," katanya.

Katanya, Syirah bercita-cita untuk menjadi doktor pakar kanser, tidak dapat bersekolah tahun lalu, namun tahun ini dia mula belajar dalam tahun satu di Sekolah Kebangsaan Sik.

"Biarpun dia memerlukan penjagaan rapi, termasuklah memakai topeng hidung dan mulut ketika berada di sekolah dan tempat awam, saya sentiasa melakukan yang terbaik untuk melihat dia terus sihat," katanya.

Ketika ditanya mengenai persiapan raya, Sarimah berkata, keluarganya belum membuat sebarang persiapan memandangkan dia tidak berkerja dan hanya bergantung kepada pendapatan suaminya sebagai penoreh.

Dalam pada itu, keluarga terbabit dikunjungi Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri Belantik, Datuk Mohd Tajudin Abdullah, yang turut menyampaikan sumbangan sempena sambutan Aidilfitri.

"Pertemuan dengan Syirah sangat menyentuh hati saya, terutamanya apabila mendengar ibunya bercerita mengenai betapa cekalnya semangat Syirah untuk meneruskan rawatan kimoterapi.

Saya berdoa dan berharap agar Syirah terus cekal dan berjuang untuk sembuh," katanya yang turut mengagihkan 150 kotak berisi barangan makanan kepada keluarga di sekitar kampung terbabit. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com