KAHT Sabah Kini Dinamakan Klinik Audiologi Tuanku Syed Putra


KANGAR - Klinik Audiologi Hospital Tawau (KAHT) Sabah kini dikenali sebagai Klinik Audiologi Tuanku Syed Putra.

Penjenamaan semula nama klinik tersebut dibuat sempena lawatan kerja Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke hospital tersebut kelmarin.

Menurut kenyataan YayasanTuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang dikeluarkan di sini semalam, nama baharu klinik tersebut diambil dari nama Raja Perlis yang juga nenekanda Tuanku Syed Faizuddin, Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail dan merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-3.

Sebelum itu, keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin disambut oleh Pengarah hospital, Dr Norlinah Arsad serta para pegawai kanan hospital.

Mengiringi baginda dalam lawatan tiga hari ke daerah Tawau dan Semporna sempena program lawatan Kerajaan Perlis ke Negeri Di Bawah Bayu 2017 ialah Setiausaha Kerajaan Perlis, Ahmad Zamri Khairuddin.

Baginda yang juga Pengerusi YTSP juga berkenan melawat Wad Materniti 1 dan 2 hospital tersebut serta menyerahkan hamper sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 70 orang ibu yang dirawat di kedua-dua wad tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin turut menyaksikan penyerahan mock cek kepada Dr Norinah bagi pihak hospital untuk pembelian sebuah mesin Otoacaoustic Emision (OAE) sumbangan YTSP Perlis dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad.

MAIPs pula menyumbangkan sebuah mesin penimbang makmal farmaseutikal disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazim Mohd Noor. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com