Jenazah Enam Sekeluarga Selamat Dikebumikan

  Jenazah enam sekeluarga selamat dikebumikan

BACHOK –  Jenazah enam sekeluarga yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 25 Jalan Bahau - Keratong dekat dekat Ladang Risda Palong, Jempol, Negeri Sembilan semalam selamat dikebumikan di tanah perkuburan Seberang Jelawat jam 3 pagi tadi.

Semua jenazah terlebih dahulu tiba di Masjid Naim, Jelawat jam 1.05 pagi untuk disolatkan oleh sanak saudara serta kenalan yang diimamkan oleh Imam Masjid Naim, Mohd Kamil Abdul Hamid.

Anak kedua keluarga itu, Wan Muhammad Hazim,19, berkata dia reda semuanya selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.

Dia bagaimanapun akan cuba untuk menunaikan hasrat bapanya, Wan Mohd Fauzi Wan Ibrahim,52, yang telah berpesan untuk menjaga kediaman mereka di Jelawat.

"Insya ALLAH saya akan pulang pada hari raya nanti untuk jenguk rumah kami di sini seperti mana yang telah dipesan oleh ayah pada awal Ramadan lalu.

"Adalah menjadi hasrat ayah untuk pulang ke kampung halamannya kerana dia telah dapat tawaran untuk bertugas di Kelantan Ogos nanti. Namun, hasrat itu terbantut kerana ibu tak dapat bertukar dan abang pun tidak setuju untuk tinggal di kampung. Rupanya memang semua ahli keluarga kami akan balik kampung lebih awal sebelum raya,"katanya ketika ditemui media selepas pengkebumian itu selesai pagi tadi.

Wan Muhammad Hazim berkata, pada hari kejadian dia tidak mengikuti ahli keluarganya untuk menghantar adiknya ke Kuantan memandangkan dia mempunyai urusan perniagaan selain merasa tidak sedap hati untuk mengikut mereka.

Dia terus tidur selepas keluarganya keluar rumah jam 10.20 pagi dan bangun jam 2 petang.

"Bangun tidur saya rasa tak sedap hati. Rasa panas duduk dalam rumah. Lepas tu saya keluar jam 3 petang sebelum balik sejam kemudian.

"Jam 4 petang saya dengar ada orang di luar tetapi saya tak buka pintu. Jam 6 petang saya tengok telefon 'last seen' abang dan mak jam 1 tengahari. Saya cuba hubungi mereka tetapi tak dapat.

"Lepas tu jam 7 ada polis datang maklumkan mengenai ayah dah tak ada akibat kemalangan tanpa maklumkan mengenai ahli keluarga lain,"katanya.

Wan Muhammad Hazim adalah satu- satunya ahli keluarga yang tinggal selepas semua ahli keluarganya meninggal dunia dalam kemalangan yang melibatkan tiga buah kenderaan kira- kira jam 2.20 petang semalam.

Mereka yang maut ialah enam sekeluarga yang menaiki Proton Exora iaitu pemandu kenderaan berkenaan, Wan Mohd Fauzi Wan Ibrahim;  isterinya Masnoraida Mohd Yusoff, 45, serta empat anak mereka iaitu Wan Muhammad Muhaimmin, 22; Wan Nor Athira, 18; Wan Muhamad Ammar Haziq, 13; dan Wan Nur Aiesha, 7.

Dua mangsa lain yang maut ialah pemandu perodua Myvi Osman Mohamed Taip, 31, dan isteri Rosniza Othman, 32, manakala anak kepada pasangan itu Muhammad Alifthaqif Osman, 3, mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Kuala Pilah.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com