JDT Bakal Umum Jurulatih Baru Tak Lama Lagi

  Image result for JDT

KUALA LUMPUR  - Selepas mendapatkan jurulatih baharu untuk Harimau Malaya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan mengumumkan seorang lagi dalam masa terdekat untuk kelab­nya Johor Darul Ta’zim (JDT) pula selepas menugaskan semula Benjamin Mora bersama JDT II.

Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards hari ini mengesahkan menerusi akaun Facebook Johor Souther Tigers bahawa Mora kembali membimbing JDT II untuk baki persaingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Bekas pemain Johor dan Si­ngapura dari Australia itu berkata Mora kembali kepada peranannya sebagai jurulatih JDT II kerana pengendali dari Mexico itu hebat dalam menyediakan pemain muda untuk pasukan utama.

“Pemain muda yang dapat kita lihat pada masa ini seperti Fazly Mazlan, Dominic Tan, Afiq Fazail, dan Hadi Fayyadh (Abdul Razak). Kami akan mengumumkan ketua jurulatih baharu untuk JDT tidak lama lagi. Pada masa ini, Ismail Ibrahim dan Raul Longhi akan memikul sementara tugas jurulatih ini.

“Oleh itu kami ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Benjamin Mora atas segala kerja keras, dedikasi dan semua yang telah dilakukan oleh beliau sepanjang menjaga kelab kami yang hebat ini.

“Beliau adalah seorang jurulatih muda yang berpotensi dan kami yakin beliau akan menjadi seorang jurulatih yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan itu.

Walaupun Edwards cuba merasionalkan penurunan pangkat Mora, namun kegagalan skuad JDT memberikan impak berkesan sejak jurulatih dari Mexico itu menggantikan Mario Gomez dilihat sebab tindakan itu dilakukan.

Kempen JDT musim ini tidak begitu memberangsangkan meskipun mereka mengumpul 30 mata untuk meninggalkan Pahang (24 mata) dan Kedah (24) di tempat kedua dan ketiga liga. 

Selain ter­singkir daripada Piala FA setelah tumpas kepada Pahang, JDT juga terkeluar awal daripada Piala AFC yang mereka menangi pada 2015 setelah kalah kepada kelab Fili­pina, Ceres di peringkat pertama pusingan kalah mati.

JDT telah membawa masuk dua pemain import baharu iaitu Mohamad Ghaddar dan Ignacio Insa ketika tempoh perpindahan pertengahan musim untuk memastikan mereka kekal di tempat teratas liga. 

Bagaimanapun skuad Harimau Selatan itu akan meneruskan baki persaingan musim ini tanpa penjaga gol Mohd. Farizal Marlias yang digantung setahun oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Farizal menerima hukuman itu kerana melakukan kekasaran terhadap pengadil perlawanan ketika menentang kelab dari Filipina, Ceres FC aksi separuh akhir kedua Zon Asean Piala AFC pada 31 Mei lalu.

Sumber: Utusan

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com