Isu Buli, Dera Dibawa Ke Majlis Sosial Negara


ARAU – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan membawa isu buli dan penderaan melibatkan golongan remaja ke Majlis Sosial Negara dalam masa terdekat ini untuk dicari jalan penyelesaian.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pihaknya memandang serius isu itu kerana melibatkan kematian dan tidak menolak kemungkinan isu itu berkait rapat dengan masalah dadah.

“Kita bimbang kerana nampak kes buli dan dera ini meningkat sejak sebulan ini. Kalau kita tak bendung awal (cari penyelesaian), gejala ini mungkin menular.

“Dalam hal ini, saya menekankan betapa pentingnya peranan institusi keluarga untuk kita terapkan nilai kasih sayang,’’ kata­nya selepas Program Negaraku, Kasih Kita di Rumah Kanak-Kanak Arau di sini semalam.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Zul­kiply Ramli.

Dalam kejadian awal bulan ini, seorang mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, maut dipercayai didera oleh rakan dengan seterika.

Sabtu lalu seorang remaja, T. Nhaveen, 18, pula maut selepas menjadi mangsa buli dan pukul oleh sekumpulan lima remaja lelaki di Georgetown, Pulau Pinang.

Dalam program sama, Rohani turut mengumumkan Rumah Kanak-Kanak Arau kini ditukar nama kepada Rumah Kanak-Kanak Abdul Latif Romly iaitu atlet paralimpik negara yang berasal dari negeri ini di atas sumbangannya memenangi pingat emas dalam acara lompat jauh T20 Sukan Paralimpik Rio 2016.

Sementara itu, beliau memberitahu, kementerian telah mewujudkan empat buah rumah transit untuk membolehkan bekas penghuni rumah kanak-kanak yang sudah mencapai usia lebih 18 tahun menetap di situ.

‘‘Mengikut peraturan, penghuni di bawah jagaan kita (JKM) yang berusia lebih 18 tahun perlu keluar (berdikari), namun disebabkan mereka tidak pernah hidup sendiri, ada yang tidak tahu arah tujuan.

‘‘Sebab itu kita wujudkan rumah transit di Keramat dan Cheras, Kuala Lumpur; Melaka dan Arau, Perlis. Setakat ini, terdapat 20 orang penghuni di Rumah Transit Keramat yang kesemuanya sudah bekerja.

‘‘Rumah transit yang lain masih belum beroperasi. Dari situ, kita akan pandu mereka bekerja atau melanjutkan pengajian,’’ katanya.

Sumber : Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com