Ibu Memandu Sejauh 1,126 KM Untuk Tinggalkan Anak


ENTAH apa alasan seorang ibu yang tergamak meninggalkan anaknya yang berusia empat tahun kepada orang yang tidak dikenali di Lapangan Terbang Atlanta, Amerika Syarikat pada Khamis.

Pihak polis kini sedang mencari wanita itu yang menghilangkan diri selepas meninggalkan anaknya.

Maranda Hakimi Harvey (gambar), 29, pada awalnya meminta  bantuan satu pasangan untuk melihat anaknya sementara kerana ingin membeli sesuatu.

Menurut laporan portal berita Mirror, Maranda tidak kembali untuk mengambil anaknya sebaliknya telah menyewa kereta dan melarikan diri.

Terdahulu pada Khamis, Maranda memandu kereta miliknya sejauh 1,126 kilometer dari rumahnya di Odenton, Maryland untuk ke lapangan terbang itu.

Selepas puas menunggu, pasangan tersebut memanggil polis untuk melaporkan mengenai perkara itu.

Sarjan Warren Pickard berkata, Maranda menyewa kereta jenis Nissan Versa warna putih dengan plat kereta Florida dan meninggalkan bandar Georgia.

Pihak polis tidak dapat mengesan lokasi Maranda dan menyeru agar orang awam tampil membantu siasatan sekiranya memperoleh maklumat mengenai wanita berkenaan.

"Ia sangat aneh. Siapa sanggup tinggalkan anak dengan orang yang tidak dikenali?

"Walaupun kamu ingin pergi ke kedai, ia bukanlah satu keputusan yang bijak," kata Warren.

Sumber : Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com