Hawar Berdarah: 340 Ternakan Mati Di Terengganu


KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengambil langkah pro-aktif bagi mencegah penularan hawar berdarah berikutan kematian 340 lembu dan kerbau sejak wabak itu dikesan Mei lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani , Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, langkah pencegahan itu antaranya suntikan vaksin dan antibiotik secara percuma ke atas ternakan di tiga daerah terbabit.

“Suntikan vaksin akan diberikan untuk lima tahun agar kita pastikan wabak ini (hawar berdarah) berakhir.

“Kita juga minta kerjasama penternak kerana kalau kita cegah dari awal adalah lebih selamat. Setakat ini, 1,872 haiwan ternakan yang berisiko telah disuntik dengan kos RM65,520.

“Kalau ada tanda-tanda seperti mulut berbuih, badan panas atau demam serta leher bengkak pada ternakan, para penternak digesa segera hubungi JPV untuk langkah pencegahan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JPV negeri, Dr. Mohd. Termizi Ghazali dan Ketua Bahagian Kesihatan jabatan berkenaan, Dr. Wan A’ Aidah Wan Hashim.

Menurut beliau, wabak di daerah Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus menyebabkan penternak kerugian kira-kira RM1.7 juta setakat ini, dan bagi menanganinya serta mengelak kerugian lebih besar, beliau meminta para penternak memberi kerjasama.

Beliau kesal dengan tindakan sesetengah penternak mengambil jalan mudah membuang bangkai ternakan yang dijangkiti hawar berdarah ke dalam sungai sehingga boleh mengundang wabak itu terus merebak.

Jelas Muhammad Pehimi, setakat ini lebih 20 bangkai dikesan telah dibuang ke dalam sungai termasuk di Sungai Mercang sejak bulan lalu. 

Sumber : Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com