Grab Helikopter Pula Diperkenal Di Indonesia


JAKARTA - Daripada Grab motosikal, yang terbaharu diperkenal di Indonesia adalah Grab helikopter bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kota mertopolitan tersebut.

Syarikat yang beroperasi di Asia Tenggara itu menjalankan percubaan perkhidmatan terbaharunya di Jakarta yang dikenali sebagai GrabHeli.

GrabHeli menawarkan perkhidmatan sebagai alternatif kepada kira-kira 10 juta penduduk Jakarta yang sering terperangkap di dalam kesesakan jalan raya yang disifatkan sebagai terburuk di dunia.

Dengan hanya menggunakan aplikasi mudah alih, Grab menawarkan perkhidmatan kereta peribadi, teksi hinggalah kepada motosikal pada masa ini.

Pengarah Pemasaran Grab Indonesia, Mediko Azwar berkata, syarikat berkenaan yang pada masa ini menawarkan perkhidmatan hanya pada hujung minggu sedang mengkaji kemungkinan untuk memperluaskannya kepada operasi seharian.

"Kami mengkaji keperluan orang ramai, terdapat eksekutif yang perlu bergerak dari satu tempat ke satu tempat dalam tempoh segera,” katanya.

Azwar berkata, setakat ini perkhidmatan GrabHeli masih diperingkat awal dan beliau enggan mendedahkan tambang yang dikenakan kepada pelanggannya.

Kesesakan jalan raya yang teruk sering menyebabkan produktiviti menurun berikutan pelbagai urusan terpaksa dibatalkan termasuk mesyuarat penting.

Grab merupakan syarikat pertama menawarkan perkhidmatan helikopter di Jakarta, walaupun Uber sebelum ini berura-ura untuk memperkenalkan perkhidmatan yang sama.

Kalangan penduduk Jakarta yang sangat kaya menyewa helikopter untuk memudahkan mereka bergerak sudah menjadi satu kebiasaan.

Grab pula beroperasi di enam buah negara iaitu Singapura, Indonesia, Filipina, Malaysia, Thailand dan Vietnam.

Syarikat beribu pejabat di Singapura itu menawarkan perkhidmatan meliputi kereta peribadi, motosikal, teksi dan motosikal serta cukup popular dalam kalangan 600 juta penduduk kelas pertengahan di rantau berkenaan. - AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com