Enam Lokasi Berisiko Kemalangan Jalan Raya Dipantau


GUA MUSANG - Polis Kelantan akan membuat pemantauan di enam lokasi berbahaya di tiga jalan utama di Kelantan bagi mengelakkan berlaku kemalangan jalan raya sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri minggu depan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata lokasi itu membabitkan Kilometer (KM) 311.1 dan 318.5 Jalan Kuala Krai - Gua Musang, KM 732 Jalan Rantau Panjang - Pasir Mas dekat Lubok Jong.

Selain itu, di KM 290.2 Jalan Tanah Merah - Pasir Puteh hadapan JKR Machang, KM 37 Jalan Kota Bharu - Terengganu, KM 16.2 dan 16.8 Jalan Panglima Bayu - Rantau Panjang - Jeram Perdah.

"Kesemua lokasi itu akan dipantau anggota polis peronda supaya pengguna mematuhi peraturan jalan raya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat yang bermula semalam (18 Jun) hingga 2 Julai depan, sempena Hari Raya 2017 di Hentian Gua Musang di Kampung Tanah Puteh sini, Ahad malam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Mahasan Mustafa dan Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Rajab Ahad Ismail.

"Selain itu, anggota polis juga akan melakukan rondaan di kawasan kediaman penduduk yang pulang beraya di kampung bagi menangani kes pecah rumah.

"Bagaimanapun kita mahu penduduk yang ingin pulang ke kampung menyambut hari raya supaya mengisi borang keselamatan rumah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran," katanya sambil menambah ia bagi memudahkan anggota yang membuat rondaan memantau kawasan penempatan terbabit.

"Musim perayaan sudah tentu terdedah kepada peluang kejadian jenayah khusus pecah rumah dan kita harap penduduk memberi kerjasama bagi memastikan semua kediaman selamat," katanya. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com