Dua Warga Myanmar Didakwa Cuba Rasuah Anggota Polis

 Related image

KUANTAN - Dua orang warga Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini dalam dua pertuduhan berasingan kerana bersubahat dan cuba merasuah seorang ejen kerajaan Malaysia dengan nilai suapan RM400 di sebuah premis perniagaan dekat Temerloh 8 Jun lalu.

Tiada pengakuan direkodkan selepas tertuduh, seorang buruh binaan, Peter Thang Maung, 35 dan seorang tukang basuh pinggan di sebuah restoran, Lalnunsangi, 20, tidak memahami bahasa Malaysia selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Than Maung didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala Lalnunsangi dituduh dibawah Seksyen 28(1)(c) yang dibacakan bersama Seksyen 17 (b) akta sama.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh cuba memberi suapan RM400 kepada seorang anggota polis, Konstabel Muhammad Amirullah Pauzi pada 8 Jun 2017 pukul 9 malam berdekatan sebuah premis di Temerloh sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakkan terhadap Lalnunsangi yang memiliki Kad Alliance of Chin Refugees yang tamat tempoh.

Dalam pertuduhan berasingan, Lalnunsangi turut dituduh kerana bersubahat kerana mengarahkan Than Maung menawarkan rasuah kepada Muhammad Amirullah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Habibah tidak menetapkan sebarang jaminan kepada kedua-dua tertuduh selepas mempertimbangkan permohonan Mohamad Fadhly atas keperluan seorang jurubahasa Myanmar dan kemungkinan kedua-dua tertuduh boleh melarikan diri kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan selain kad UNCHR dan ACR.

Mahkamah menetapkan 13 Julai ini sebagai sebutan semula kes.

Sumber: Kosmo

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com