Dua Remaja Kes Nhaveen Ditahan Semula Disyaki Turut Terlibat Kes Lain - Polis


GEORGE TOWN - Dua remaja lelaki yang direman bagi membantu siasatan kes T. Nhaveen dan dibebaskan dengan jaminan polis pada Rabu, ditahan semula kelmarin bagi membantu siasatan satu lagi kes pukul dan melakukan pemerasan membabitkan seorang pekerja kedai serbaneka.

Pelajar tingkatan empat dan lima itu adalah antara lima remaja yang ditahan bagi membantu siasatan kes Nhaveen yang cedera parah dipukul di Jalan Kaki Bukit di sini, awal pagi Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata tiga lagi, berusia antara 18 dan 19 tahun, yang akan tamat reman esok juga akan ditahan semula bagi membantu siasatan kes pekerja kedai serbaneka tersebut.

Kelima-lima mereka dipercayai terlibat dalam kes seorang remaja berusia 19 tahun cedera dipukul dan diperas ugut dalam kejadian di Jelutong pada 5 Mei lepas. katanya dalam sidang media di sini kelmarin.

"Remaja yang bekerja di sebuah kedai serbaneka 24 jam itu membuat laporan polis selepas kejadian dia dipukul dan diperas ugut lima lelaki termasuk dua pelajar sekolah berkenaan bagaimanapun mangsa menarik semula laporan tersebut kerana enggan memanjangkan kes," katanya.

Bagaimanapun Anuar berkata semalam, remaja yang lebam di beberapa bahagian badan dalam kejadian dipukul bulan lepas itu membuat laporan polis semula dan mahu pihaknya menyiasat kes berkenaan kerana ia membabitkan suspek yang sama dalam insiden Nhaveen.

Beliau berkata polis juga sedang menyiasat sama ada mereka terlibat dalam kes pukul, buli dan peras ugut mangsa yang lain.

Sehubungan itu, Anuar meminta sesiapa yang pernah menjadi mangsa pukul, buli dan peras ugut lima remaja lelaki terbabit agar tampil membuat laporan polis supaya pihaknya dapat menjalankan siasatan.

Dalam kejadian pukul 2.10 pagi Sabtu itu, lima remaja lelaki berusia 16 hingga 18 tahun dilapor memukul Nhaveen, 18 dan rakan baiknya T.Previin, 19 menggunakan topi keledar tetapi Previin dapat melarikan diri ketika mereka cuba diheret ke padang berdekatan.

Nhaveen yang cedera parah disahkan mengalami keadaan otak mati, selain duburnya didapati mengalami kesan koyak akibat ditusuk objek tumpul manakala bahunya mempunyai kesan terbakar.

Kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Pulau Pinang. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com