Dua Krew Kapal Hilang Kapal Kontena Karam


PUTRAJAYA  - Dua krew kapal dilaporkan hilang selepas sebuah kapal kontena yang didaftarkan di Indonesia karam di perairan Tanjung Keling, Melaka hari ini.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Zulkifli Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Jabatan Laut mengenai keadaan kapal tersebut yang separuh karam pada pukul 9.25 pagi tadi.

Berikutan itu, katanya, satu pasukan penyelamat telah digerakkan ke kawasan tersebut bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Dalam kejadian itu, sebanyak 13 krew kapal tersebut telah berjaya diselamatkan oleh sebuah kapal dagang, MV Udine yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

“Dua krew kapal itu masih lagi hilang dan berikutan itu pasukan menyelamat Maritim Malaysia telah mengerahkan sebuah helikopter dan sebuah bot bagi menjalankan operasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama dan melancarkan Ops Pagar Laut serta Majlis Bingkisan Aidilfitri di Ibu Pejabat Maritim Malaysia di sini.

Menurut Zulkifli, dua krew kapal yang hilang itu dipercayai kapten kapal dan tukang masak. 

Sumber : Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com