DoJ Perlu Buktikan Di Mahkamah Sebelum Boleh Diterima Sebagai Fakta


KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan merupakan pihak dalam saman sivil Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ), kata Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Dalam kenyataan semalam, beliau menjelaskan bahawa aset yang didakwa diperoleh secara tidak betul dan mohon di rampas DoJ itu sebenarnya dibeli oleh entititi yang tidak dimiliki atau dikawal secara sah oleh 1MDB.

“Ternyata, siasatan DoJ berpunca daripada aduan yang dibuat individu tertentu. Saya mengesyaki aduan ini sebenarnya dibuat rakyat Malaysia sendiri yang mempunyai agenda politik keji terhadap Perdana Menteri dan kerajaan,” katanya.

Rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui siapakah pengadu ini dan oleh itu, DoJ patut dedahkan identiti mereka dengan segera,” katanya.

Abdul Rahman, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata walaupun DoJ berhak untuk memfailkan saman sivil, tetapi saman itu perlulah berdasarkan fakta yang boleh dibuktikan dan tidak mengandungi kenyataan bersifat retorik serta tidak berasas.

Beliau berkata:”Lebih penting lagi, tuduhan DoJ iu perlulah dibuktikan di mahkamah sebelum ia boleh diterima sebagai fakta.”

“Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia telah melakukan penyiasatannya sendiri. Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang berpengaruh dan bersifat dwipemihak khususnya, yang dianggotai pemimpin kanan daripada pihak kerajaan dan pembangkang, tidak menemukan sebarang bukti bahawa wang berkenaan diseleweng daripada 1MDB,” katanya. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com