DAP Tak Berani Pertikai Isu Jual Tanah, Pindah Wang Di Pulau Pinang?


ALOR SETAR - Rakyat Malaysia sudah menanti selama separuh dekad untuk melihat realiti daripada tilikan berulang kali oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang bahawa Malaysia akan bankrap.

Andainya Malaysia gagal dan akan bankrap, bagaimana mungkin kerajaan Persekutuan boleh memberi jaminan terhadap pinjaman berbilion ringgit yang akan dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng daripada Bank Exim dari China

Unit Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BNSC) dalam satu kenyataan akhbar hari ini berkata, sebelum ini Guan Eng menerusi satu kenyataan akhbar berterima kasih kepada Perdana Menteri, 
Datuk Seri Najib Razak dan Kerajaan Persekutuan yang membantu kewangan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Kami mengalu-alukan reaksi dari empat pemimpin kanan DAP terhadap kenyataan kami Ahad lalu yang mempersoalkan... 'jika Pulau Pinang  menuju ke kancah negeri yang gagal atau muflis" kata kenyataan BNSC.

Bagaimanapun, BNSC amat kecewa kerana empat pemimpin kanan DAP itu hanya memberikan respons yang sarat dengan retorik dan lencongan daripada persoalan yang diajukan.

Sehubungan itu, BNSC ingin mengulangi lagi soalan itu:

* Adakah benar Kerajaan Pulau Pinang telah menjual atau memperdagangkan sekurang-kurangnya RM37 bilion nilai tanah, hak pemilikan tanah dan aset sejak DAP mengambil-alih pada 2008?

 * Adakah benar tidak banyak lagi tanah yang tinggal untuk dijual sebagaimana dinyatakan Exco Pulau Pinang, YB Chow Kon Yeow tahun lalu?

 * Adakah benar bahawa kos bagi projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PMTP) telah meningkat harganya dari RM27 bilion kepada RM46 bilion pada tahun sebelum ini sebagaimana dinyatakan Kon Yeow?

 * Adakah benar Kerajaan Pulau Pinang akan mengambil langkah membuat pinjaman bagi menampung jurang berjumlah RM19 bilion sebagaimana dinyatakan Kon Yeow melalui temu ramahnya dengan The Edge pada Julai tahun lalu?

 * Adakah kerajaan negeri DAP telah memindahkan dana sebanyak RM609 juta dari rizab kerajaan negeri dan diberikan sebagai pinjaman kecemasan kepada PDC, di mana agensi milik kerajaan negeri itu mencatatkan penyusutan keuntungan sebanyak 80 peratus pada tahun sebelum ini dan sebanyak RM30 juta diberikan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA)?

Menurut  kenyataan BNSC itu lagi, kesemua pertanyaan itu adalah bersangkut paut dengan masa depan Pulau Pinang dan penduduknya, terutama pada ketika pengesahan dibuat oleh kerajaan negeri itu bahawa perbelanjaannya melonjak naik sebanyak 500 peratus sejak DAP mentadbir pada 2008.

Sebelum ini Exco negeri itu,  Kon Yeow dalam reaksinya  hanya menyatakan kerajaan Persekutuan harus  membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin.

"Kami tidak pasti bagaimana kenyataan pemimpin DAP itu dapat menjawab persoalan yang kami kemukakan," ujar BNSC.

Dalam pada itu, Guan Eng dalam reakasinya pula  mendakwa Pulau Pinang hanya memperoleh pendapatan RM657.6 juta hasil daripada jualan tanah bagi tempoh 2008 hingga 2015

Bagaimanapun kenyataan Guan Eng itu menimbulkan lebih banyak persoalan kerana ramai yang masih  ingat kenyataan beliau yang begitu bangga dengan penjualan tanah di Bayan Mutiara dengan harga RM1.07 bilion pada 2011. 

Atau penjualan tanah kerajaan negeri pada harga RM484 juta di Batu Kawan kepada Aspen Vision pada 2014 dengan alasan  penyertaan IKEA bagi menjual pekasasan rumah untuk penduduk Pulau Pinang adalah satu lonjakan ekonomi bagi negeri itu, kata kenyataan tersebut.

Persoalannya juga timbul bahawa pada 16 Disember 2016, Guan Eng turut mengesahkan Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang (PDC) berjaya menjual tanah berharga RM1.94 bilion bagi tempoh 2008 hingga 2015.

Untuk rekod, DAP mula mengambil alih pentadbiran Pulau Pinang pada 2008.

Pada 16 Disember 2016, Guan Eng  turut mengesahkan bahawa PDC berjaya menjual tanah berharga RM1.94 bilion bagi tempoh 2008 hingga 2015. 

"Sebagaimana yang difahmi, PDC dimiliki 100 peratus oleh kerajaan negeri, justeru ramai yang tertanya-tanya mengapa Guan Eng masih mendakwa Pulau Pinang hanya mencatatkan pendapatan RM657.6 juta sahaja daripada penjualan tanah kerajaan negeri." kata BNSC.

"Kami kecewa kerana Guan Eng tidak mempertikaikan persoalan yang diajukan bahawa sebanyak RM37 bilion nilai tanah kerajaan negeri, hak pemilikan tanah dan aset sudah dijual atau diperdagangkan sejak 2008 dan menerima tawaran kami bagi menunjukkan senarai itu kepada beliau sekaligus memberi peluang untuk beliau pertikaikan.

Sementara Kit Siang pula memberikan reaksi 'lucu' dengan mendakwa Pulau Pinang tidak akan gagal namun yang bakal menjunam dan gagal ialah Malaysia, satu tuduhan yang sudah diulangi oleh beliau sejak 1960 termasuk melalui bukunya bertajuk ‘Timebombs in Malaysia’ (Bom Jangka Di Malaysia). - Kedahnews.com. 

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com