Dalang Serangan Tehran Dibunuh


DUBAI – Pasukan keselamatan Iran baru-baru ini berjaya membunuh dalang serangan berkembar di Tehran yang membunuh sebanyak 17 orang, minggu ini ketika pihak ke­selamatan meningkatkan kawalan keselamatan di seluruh negara ini bagi mengelak plot serangan serupa daripada berulang.

Kumpulan militan Daesh me­ngaku bertanggungjawab dalam serangan bom bunuh diri dan serangan senjata di bangunan Parlimen serta makam Ayatollah Khomeini, Rabu lalu.

“Dalang dan komander utama serangan pengganas di bangunan Parlimen dan makam Ayatollah Khomeini berjaya dibunuh oleh pasukan keselamatan hari ini,” kata Menteri Risikan Iran, Mahmoud Alavi yang dipetik agensi berita Tasnim.

Alavi menjelaskan, bulan lalu, Kementerian Risikan mengenal pasti dan menumpaskan pasukan pengganas hampir setiap hari namun tidak mendedahkannya bagi mengelak timbul kebimbangan orang ramai.

Pihak berkuasa Iran turut menahan sebanyak tujuh orang yang dipercayai membantu pengganas dalam serangan itu.

Dalam pada itu, seorang pegawai kehakiman wilayah, Ahmad Fazelian berkata, tujuh orang itu dipercayai menyediakan soko­ngan kepada pasukan pengganas dan mereka ditahan di Fardis, kira-kira 50 kilometer barat Tehran,

Baru-baru ini, pihak berkuasa me­ngu­mumkan penahan sebanyak 41 orang suspek berhubung sera­ngan berkembar di Tehran.

Dalam perkembangan berasi­ngan, ketua kehakiman wilayah Fars berkata, sebanyak tujuh individu ditahan di kawasan selatan Larestan kerana dipercayai ada kaitan dengan Daesh. – REUTERS

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com