Cuma 1 Kerusi, Tak Masuk Akal Pilih Jadi Perdana Menteri


ALOR SETAR  – Rakyat di negara ini diminta supaya memilih pemimpin yang terbukti dan benar-benar mampu mentadbir negara dan tidak terpengaruh dengan pemimpin "syok sendiri" sehingga tergamak mencalonkan diri sendiri untuk menjadi Perdana Menteri.

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menegaskan bahawa dalam apa jua keadaan pun, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak dari zaman merdeka telah terbukti menabur jasa secara konsisten kepada rakyat.

Sebaliknya kata beliau, keadaan pihak pembangkang di negara ini kian bercelaru antara satu sama lain dan dilihat tidak mampu membela nasib rakyat berbanding UMNO dan BN.

"Tiada siapa yang berhak menjadi Perdana Menteri melainkan melalui proses pilihan raya. Dalam sistem demokrasi berparlimen, parti yang banyak memenangi kerusi yang layak membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri.

“Tidak boleh tawar diri sendiri untuk jadi Perdana Menteri seperti yang berlaku dalam pembangkang. Perdana menteri sejak merdeka adalah Presiden UMNO sebab UMNO yang paling banyak kerusi di Parlimen,” katanya ketika berucap pada Majlis Perdana Menteri Bersama Kepimpinan Akar Umbi UMNO Negeri Perlis yang dihadiri kira-kira 3,000 anggota parti di Dewan 2020 di Kangar, semalam.

Turut hadir bersama ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Selain itu, Mohd Najib turut menegaskan bahawa kekuatan UMNO sehingga kini kekal utuh, bertambah kukuh dan dilihat mampu memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang akan datang.

"Sebab itu, kita tidak boleh dengar mana-mana kumpulan yang kerap kali bermesyuarat semata-mata mahu memilih calon Perdana Menteri masing-masing," katanya lagi.

Beliau berkata tidak gunanya melantik individu tertentu sebagai calon Perdana Menteri sedangkan pada hakikatnya pihak berkenaan sama sekali gagal menguasai majoriti kerusi di Parlimen.

"Parti Bunga (Parti Bersatu Pribumi Malaysia - PPBM) ada satu sahaja kerusi. UMNO ada 88 kerusi dan sebab itu tidak masuk akal untuk mereka pilih calon Perdana Menteri," kata Mohd Najib.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut meluahkan keyakinan bahawa Perlis mampu memastikan UMNO dan BN terus kekal memerintah negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 nanti berdasarkan kepada perpaduan yang begitu utuh dalam kalangan anggotanya.

"Saya tengok di Perlis boleh capai memenangan 3-0 (kekal kerusi Kangar, Arau dan Padang Besar) dan BN tubuh kerajaan nanti," katanya yakin dengan kekuatan parti yang diterajuinya di negeri tersebut.

Selain itu, Mohd Najib juga turut menasihati semua anggota parti supaya mengambil iktibar dan hikmah di sebalik peperangan Badar dan Uhud pada zaman Rasulullah SAW dengan mentaati pemimpin.

"Kita tidak kira negeri kecil atau besar tapi apa yang kita mahu adalah kemenangan 100 peratus dan kalau patuh kepada prinsip wala`, InsyaAllah kita akan menang 100 peratus," ujar beliau penuh bersemangat.

Pada majlis itu juga, Mohd Najib mengumumkan peruntukan sebanyak RM6 juta kepada negeri Perlis untuk membaik pulih rumah-rumah yang dikenal pasti uzur dan menambah baik sistem jalan raya di negeri itu.

Mohd Najib yang semalam dalam rangka lawatan sehari ke Perlis dan Kedah, kemudian menghadiri majlis Berbuka Puasa, Solat Maghrib, Penyerahan Sumbangan dan Perasmian Pelancaran Lampu Jalan di Masjid Pering, Kubang Pasu.

Beliau juga telah menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid Bukit Pinang, Kota Setar, Alor Setar sebelum berlepas pulang ke ibu negara malam tadi. – Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com